1,341 anggota dan pegawai polis terbabit dalam memastikan PRK Tanjung Piai esok berjalan lancar. FOTO Arkib NSTP
Mohd Sabran Md Sani


SERAMAI 1,341 anggota dan pegawai polis akan digerakkan untuk menjaga keselamatan serta lalu lintas sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai esok.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mustafa Bakri Salleh berkata, kehadiran anggota terbabit bagi memastikan proses pengundian berjalan lancar.

“Kami sudah gerakkan kekuatan membabitkan 1,341 pegawai dan anggota merangkumi semua jabatan termasuk bahagian jenayah, trafik dan cawangan khas.

“Semua anggota terbabit akan memastikan PRK Tanjung Piai berjalan lancar tanpa ada gangguan yang boleh menimbulkan kegusaran,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian hari ini.

Beliau berkata, tiga jalan utama iaitu Jalan Osman, Jalan Ismail dan Jalan Dewan ditutup esok bagi membolehkan proses penjumlahan undi dilaksanakan dengan teratur.

“Sebagai alternatif pengguna boleh menggunakan Jalan Al-Sagoff, Jalan Bakek dan Jalan Parit Mesjid bermula 8 pagi hingga keputusan PRK diumumkan,” katanya.

Menurutnya, semua penyokong dinasihatkan mengikut peraturan ditetapkan selain tidak menimbulkan gangguan.

“Ia bagi memastikan proses demokrasi berjalan lancar,” katanya yang mengharapkan pengundi keluar awal untuk menunaikan tanggungjawab sebelum pusat mengundi ditutup 5.30 petang.

Sementara itu katanya, 35 laporan polis diterima sepanjang tempoh penamaan calon hingga petang ini.

“Lima kertas siasatan dibuka dengan tiga disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan dua di bawah Seksyen 4 A (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Terbaharu satu kes membabitkan gegantung berunsur provokasi diterima dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4 A(1) Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Sebanyak 879 permit diberikan kepada semua pihak bertanding membabitkan 391 permit kepada Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) 122 permit, GERAKAN (123), BERJÀSA (111) dan Bebas (14),” katanya.

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 November 2019 @ 5:41 PM