Ahmad Faizal menunjukkan buku Belanjawan Negeri Perak 2020 selepas membentangkannya pada Sidang DUN Perak ke-14. FOTO Abdullah Yusof
Shamsul Kamal Amarudin


BUAT julung kalinya, Kerajaan Perak memperkenalkan Program Bantuan Umrah dengan peruntukan RM5 juta yang akan memberi manfaat kepada 1,000 orang asnaf tahun depan.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pada masa sama kerajaan negeri memperkenalkan Program Bantuan Wang Saku kepada 3,000 jemaah haji muassasah dari Perak berjumlah RM1.5 juta tahun depan.

Katanya, ia sebahagian daripada peruntukan RM153.1 juta bagi memperkasa syiar Islam di negeri itu dalam Belanjawan Perak 2020.

“Kerajaan negeri juga akan memperkenal inisiatif baharu iaitu Bantuan Pengurusan Masjid.

“Inisiatif ini membabitkan peruntukan RM500,000 yang diselaraskan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dalam program pengindahan 25 masjid terpilih,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Negeri Perak 2020 pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Ipoh hari ini.

Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri juga memperuntukkan lebih RM20 juta bagi memberi Bantuan Khas Kewangan (BKK) kepada lebih 10,000 penjawat awam negeri dan Orang Besar Jajahan (OBJ).

Katanya, mereka akan menerima sebulan gaji atau minimum RM2,000 kepada semua penjawat awam negeri yang akan dibayar sepenuhnya sebelum akhir tahun ini.

Beliau berkata, BKK berjumlah RM1,000 bagi setiap penerima pula diberikan kepada Guru Sandaran Tidak Terlatih, Pekerja Sambilan Harian, Guru Tadika Islam JAIPk, Imam, Bilal, Siak, Ketua Kampung serta Tok Batin.

Katanya, belanjawan bertemakan Perak Negeri Berdaya Tahan, Mampan dan Inklusif itu memperuntukkan RM1.09 bilion berbanding anggaran perbelanjaan RM1.2 bilion.

“Daripada unjuran hasil dan perbelanjaan, Belanjawan 2020 dicadangkan sebagai belanjawan defisit sekitar RM103 juta (RM103,224,239),” katanya.

Beliau berkata, unjuran defisit itu adalah lebih rendah berbanding defisit yang diunjurkan untuk Belanjawan 2019 berjumlah RM109 juta.

“Namun demikian, kita yakin akan mencatatkan lebihan pada penutupan akaun 2019 nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 November 2019 @ 6:19 PM