MUHYIDDIN pada sidang media selepas perjumpaan bersama di Eco Rambah. FOTO Bernama
Mohd Sabran Md Sani


“INI psy-war (perang psikologi),” kata Timbalan Presiden Pakatan Harapan (PH), Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung dakwaan Barisan Nasional (BN) mendahului PH bagi memenangi kerusi Parlimen Tanjung Piai dengan ‘majoriti besar’.

Tidak menolak ia hanyalah sekadar perang psikologi menjelang saat-saat akhir kempen, beliau turut mempunyai fakta bahawa hasil kajian sebuah badan pemikir (think tank) menunjukkan PH mendahului.

“Saya sudah melalui banyak pilihan raya, ada ramalan-ramalan bahawa satu pihak menang, seperti pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu. Dia kata PH tak boleh menang, tapi yang berlaku sebaliknya.

“Bancian yang kami buat dengan badan pemikir yang kami pilih, mereka kata bahawa kita mendahului setakat hari ini,” katanya apabila ditanya mengenai laporan berita mendakwa BN dipercayai mendahului sekali gus merampas kerusi Parlimen Tanjung Piai dari PH dengan majoriti lebih 3,000 undi.

Beliau menjawab persoalan itu pada sidang media selepas perjumpaan bersama pemandu-pemandu kenderaan, petugas dan peraih undi (PACABA) PH di Pontian, hari ini.

Ditanya berapa jumlah undi PH akan mendahului, beliau bagaimanapun enggan berkongsi fakta itu.

“Berapa peratus kita leading (mendahului)? Itu tak payah saya beritahu tapi bagi saya trend mutakhir inilah yang agak kritikal,” katanya.

Muhyiddin berkata, tempoh kempen 24 jam terakhir adalah paling kritikal dan jentera PH semakin giat bagi memastikan masyarakat Tanjung Piai keluar mengundi dengan memberi sokongan kepada calon PH.

Pada masa sama, beliau berharap PH mencatatkan keputusan lebih baik pada Pilihan Raya Kecil ini.

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 November 2019 @ 6:47 PM