RAYUAN memohon sumbangan disiarkan FB Harian Metro Malaysia yang turut menggunakan logo myMetro.


GAMBAR dan berita kanak-kanak sakit terus digunakan sindiket tertentu untuk mengutip dana daripada orang ramai.

Malah, individu terbabit turut menyamar dengan menggunakan Facebook Harian Metro (HM) dan logo myMetro bagi meraih simpati.

Sehubungan itu, HM menafikan terbabit memohon sumbangan orang ramai dan mengutip derma bagi membantu kanak-kanak, Nur Liyana Muhammad Danial.

Kutipan sumbangan itu disiarkan Facebook Harian Metro Malaysia yang turut menyertakan nombor akaun untuk mengumpul RM32,710 bagi kos pembedahan.

Sementara itu, Pengarang Kumpulan HM, Tuan Mohd Asri Tuan Hussein berkata, HM tidak pernah mengendalikan atau menggunakan laman FB Harian Metro Malaysia untuk paparan berita semasa.

Menurutnya, akhbar ini menggunakan laman Facebook atas nama Harian Metro yang mempunyai perakuan pihak FB sendiri.

Laman rasmi Harian Metro ialah www.hmetro.com.my, laman FB facebook.com/harianmetro menerusi nama Harian Metro, Twitter @hmetromy dan Instagram @hmetromy.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 November 2019 @ 12:13 AM