Mohd Sabran Md Sani


DUA daripada enam calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, akan melaksanakan tanggungjawab mengundi, hari ini.

Calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini akan hadir mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Kerang.

Manakala, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yu Ming 1, Pekan Nanas, pada 8 pagi.

Lensa jurugambar sudah pasti terarah kepada kedua-dua calon terbabit, manakala kumpulan wartawan akan berkampung di Dewan Jubli Intan, malam ini bagi mengikuti keputusan PRK Tanjung Piai.

Sementara itu, 52,471 pengundi berdaftar di Parlimen Tanjung Piai akan melaksanakan tanggungjawab memilih wakil rakyat baharu mereka, menggantikan penyandang terdahulu, Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik yang meninggal dunia akibat komplikasi jantung pada 21 September lalu.

Selain Karmaine dan Dr Wee, empat lagi calon bertanding bagi PRK itu adalah calon (GERAKAN) Wendy Subramaniam; Presiden BERJASA, Dr Badrulhisham Abdul Aziz dan dua calon bebas Dr Ang Chuan Lock yang juga pengetua pusat tuisyen serta Faridah Aryani Abdul Ghaffar.


DR Wee calon pertama membuang undi, pagi hari ini. FOTO Hairul Anuar Rahim.

Sebanyak 27 pusat mengundi dan 125 saluran dibuka untuk proses pengundian bermula 8 pagi hingga 5.30 petang.

Pada 12 November lalu, 280 anggota dan pegawai polis sudah membuang undi awal.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Mei tahun lalu, Allahyarham Md Farid memenangi kerusi itu dengan majoriti 524 undi dalam pertandingan tiga penjuru.

PRK Tanjung Piai adalah pilihan raya kecil kesembilan diadakan sejak PH memenangi PRU-14, Mei tahun lalu.

Tinjauan Harian Metro mendapati petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah tiba di pusat pengundian bagi melancarkan urusan proses pengundian.

Seramai 1,341 pegawai dan anggota polis digerakkan untuk menjalankan tugas menjaga keselamatan dan lalu lintas bagi PRK hari ini.

Tiga jalan utama iaitu Jalan Osman, Jalan Ismail dan Jalan Dewan ditutup hari ini bagi membolehkan proses penjumlahan undi dilaksanakan dengan teratur.

Sebagai alternatif pengguna boleh menggunakan Jalan Al-Sagoff, Jalan Bakek dan Jalan Parit Mesjid bermula 8 pagi hingga keputusan PRK diumumkan.

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 November 2019 @ 7:52 AM