Siti Rohana Idris


PASANGAN kembar ditegur pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEIK) kerana berpakaian seperti lelaki dan tidak menutup aurat dalam operasi di Kota Bharu, hari ini.

Remaja perempuan berusia 16 tahun yang mengenakan pakaian serta potongan rambut seperti lelaki itu ditemui di lokasi parkir sebuah pasar raya jam 3.15 petang.

Menurut seorang daripada kembar itu, penampilan mereka sebegitu sejak kecil lagi disebabkan didikan bapa yang inginkan anak lelaki.

“Kami diasuh berkelakuan seperti lelaki sejak kecil dan saya juga menyertai sukan futsal malah pernah mewakili negeri.

“Tudung dan baju kurung hanya dipakai ketika waktu persekolahan saja,” katanya.

Mereka antara lima individu yang menerima notis khidmat nasihat dan 50 lagi diberi amaran lisan oleh JAHEIK sempena Op Sosial yang dijalankan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) hari ini.

Pegawai menegur pasangan kembar yang berpakaian seperti lelaki. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Operasi bermula antara 3 hingga 4.30 petang itu membabitkan 22 anggota dari MPKB-BRI, JAHEIK dan skuad Hisbah iaitu sukarelawan dari MPKB-BRI.

Pengarah Pembangunan Islam MPKB-BRI, Ropein Hasan berkata, operasi itu memfokuskan kepada kesalahan berkelakuan kurang sopan dan berpakaian tidak menutup aurat.

Beliau berkata, operasi siri pertama sempena cuti sekolah itu akan dilakukan secara mingguan sehingga sesi persekolahan dibuka.

“Kami memberi fokus kepada kegiatan lepak yang menjurus kepada pergaulan bebas dalam kalangan remaja dan pihak kami kenalpasti parkir tingkat atas adalah lokasi kegemaran mereka untuk bersantai.

“Operasi ini juga dijalankan secara santai dengan memberikan khidmat nasihat serta edaran risalah supaya menutup aurat,” katanya.

Katanya, mereka bercadang ke semua pasar raya di bandar ini pada masa akan datang termasuk Pantai Cahaya Bulan (PCB) yang sentiasa menjadi tumpuan orang ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 November 2019 @ 6:34 PM