MARTINAH menyampaikan ceramah 'Perancangan Pewarisan' pada Pameran Hartanah MyRumah [email protected] 2019 di Stadium Indera Mulia, Ipoh. FOTO Abdullah Yusof
Mohd Hafizee Mohd Arop


MENDIDIK masyarakat merancang pewarisan hartanah lebih awal menjadi antara pengisian yang diterapkan dalam pameran hartanah, MyRumah Perak-Ku 2019 menerusi perkongsian ilmu oleh Amanah Raya Berhad (Amanah Raya).

Amanah Raya menyertai pameran tahun ini yang diadakan di Stadium Indera Mulia di Ipoh dan slot ceramah disampaikan Pengurus Kanan Amanah Raya Berhad Cawangan Perak, Martinah Marzuki dengan tajuk ‘Perancangan Pewarisan’.

Martinah berkata, walaupun kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pewarisan hartanah serta harta pusaka semakin meningkat namun Amanah Raya akan terus menjalankan tanggungjawabnya bagi memastikan setiap individu membuat persiapan awal.

“Kesedaran masyarakat sudah bertambah baik di Perak, mereka sudah mula sedar kepentingan membuat wasiat dan hibah supaya tidak menjadi masalah selepas mereka tiada.

“Amanah Raya kalau boleh mahu membuang persepsi yang mana bila sebut saja wasiat, orang akan berkata seperti meminta dia meninggal dunia pula, sedangkan ajal maut kita tidak tahu,” katanya yang ditemui pada pameran itu, hari ini.

Menurutnya, Amanah Raya sentiasa menasihatkan masyarakat terutamanya golongan muda yang mempunyai isteri serta anak kecil supaya membuat wasiat atau hibah bagi memastikan masa depan orang ditinggalkan terbela.

Katanya, selain cawangan di Ipoh dan Teluk Intan, Amanah Raya juga sudah selangkah ke hadapan dengan menyediakan kaunter bergerak di beberapa kawasan antaranya Lenggong, Parit Buntar, Taiping dan Slim River.

“Pada pameran ini, Amanah Raya menasihatkan pengunjung supaya membuat persiapan awal dan tidak bertangguh kerana masa depan tidak diketahui macam mana, justeru mereka perlu datang mendapatkan khidmat nasihat.

“Bila sudah memiliki hartanah ini, memang perlu ada kesedaran, jika tidak tahu jangan malu untuk bertanya dan kami di Amanah Raya bersedia memberikan nasihat,” katanya.

Martinah turut berterima kasih kepada Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) kerana memberi peluang pihaknya untuk bersama-sama dalam pameran itu sekali gus memberikan kesedaran kepada masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 November 2019 @ 6:47 PM