RANGKA mangsa yang ditemui di belukar berhampiran perkampungan Portugis, Ujong Pasir. FOTO Rasul Azli Samad
RANGKA mangsa yang ditemui di belukar berhampiran perkampungan Portugis, Ujong Pasir. FOTO Rasul Azli Samad
Rizanizam Abdul Hamid


“KETIKA sedang mencari rakan, saya terpijak tulang tangan manusia, sebelum ternampak kepala dan rangka badan dipercayai milik seorang lelaki,” kata Stanley Edward, 42.

Nelayan itu adalah penduduk Perkampungan Portugis yang menyertai usaha mencari dan menyelamat rakannya dikenali Gregory De Roche, 85, yang dilaporkan hilang sejak 3 November lalu.

Menurutnya, dia terpanggil untuk menghubungi bomba memaklumkan perkara itu selepas terdengar salakan pelik anjing dari kawasan belukar berhampiran kawasan perkampungan itu.

“Saya kemudian menyertai bomba mencari rakan dari 11 pagi hingga 2 petang tadi tetapi hampa.

“Sekitar jam 3 petang, saya masuk semula kawasan belukar sama seorang diri kerana berasa seperti ada sesuatu yang tidak kena.

“Selepas 30 minit mencari, saya terpijak objek seperti tangan manusia,” katanya ketika ditemui Harian Metro di lokasi kejadian petang tadi.

Menurutnya, selepas itu dia terus berjalan dan terlihat objek seperti kepala diikuti badan manusia dipercayai milik rakannya.

“Saya turut menjumpai baju dan kasut milik rakan di dalam bungkusan plastik berhampiran rangka dan terus menghubungi pihak berkuasa.

“Rakan memang seorang yang suka masuk hutan dan gemar berada di dalam hutan seperti pekerjaannya dulu sebagai tentera,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Superintendan Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, setakat ini rangka dipercayai milik lelaki Portugis dikenali Gregory De Roche yang dilaporkan hilang sejak 3 November lalu.

“Hasil siasatan awal di lokasi kejadian menjumpai beberapa tulang dipercayai bahagian anggota manusia.

“Turut ditemui berhampiran rangka adalah dokumen pengenalan diri dan satu beg plastik pakaian dipercayai kali terakhir dipakai warga emas berkenaan,” katanya

Beliau berkata, kes diklasifikasi sebagai mati mengejut dan rangka dihantar ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 November 2019 @ 10:17 PM