ANWAR. FOTO Arkib NSTP
Shamran Sarahan


DATUK Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kemenangan dengan majoriti besar diperoleh Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai sebagai satu mesej kepada seluruh pimpinan Pakatan Harapan (PH).

Menerusi ciapannya di Twitter, Presiden PKR itu menegaskan, “Bagi pihak PH kami menghormati keputusan yang dibuat oleh rakyat keseluruhannya. Majoriti yang diperoleh pembangkang ini satu kejutan dan ia mesej jelas kepada seluruh pimpinan PH.”

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson itu turut mengingatkan pimpinan PH supaya mengambil pengajaran dan iktibar terhadap kekalahan pada PRK itu.

“Kita seharusnya mengambil pengajaran dan iktibar daripada keputusan PRK ini.

“Kita juga harus berusaha menanam keyakinan rakyat terhadap dasar yang dibawa oleh PH dengan usaha positif melaksanakan janji-janji,” ciapnya di akaun peribadi beliau, malam ini.

Calon BN, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng memenangi PRK Parlimen Tanjung Piai dengan majoriti 15,086 undi, hari ini.

Ketua MCA Bahagian Tanjung Piai itu memperoleh 25,466 undi daripada 128 saluran undi sehingga penjumlahan tamat, malam ini.

Keputusan rasmi itu menunjukkan Jeck Seng menewaskan pencabarnya iaitu calon PH, Karmaine Saidini yang memperoleh 10,380 undi.

Dengan kemenangan itu, Jeck Seng kini Ahli Parlimen Tanjung Piai sekali gus merampas kembali jawatan pernah disandang bagi dua penggal sebelum ini.

PRK Parlimen Tanjung Piai menyaksikan pertandingan enam penjuru susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik akibat komplikasi jantung 21 September lalu.

Enam calon terbabit, calon PH dari BERSATU, Karmaine Sardini, 66; calon BN dari MCA, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng dan calon (GERAKAN), Wendy Subramaniam.

Turut bertanding Presiden BERJASA, Dr Badrulhisham Abdul Aziz dan dua calon bebas, Dr Ang Chuan Lock yang juga pengetua sebuah pusat tuisyen serta Faridah Aryani Abdul Ghaffar.

Sebanyak 27 pusat mengundi dan 125 saluran akan dibuka untuk proses pengundian bermula 8 pagi hingga 5.30 petang.

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 November 2019 @ 10:40 PM