MUHYIDDIN. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

PAKATAN Harapan (PH) Johor menerima keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, sebagai satu isyarat daripada pengundi yang perlu diambil serius oleh parti, kata Pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Mengambil kira kekalahan ini, PH perlu kembali semula ke paparan lakaran, untuk menilai dasar, pendekatan dan prestasi parti dan kerajaan, yang telah menyumbang kepada rasa tidak puas hati rakyat,” kata beliau dalam satu kenyataan bersama pemimpin PH Johor yang lain di Pontian, malam ini.

Turut sama dalam kenyataan itu ialah Pengerusi PKR Johor Syed Ibrahim Syed Noh, Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Aminolhuda Hassan, Pengerusi DAP Johor Senator Liew Chin Tong dan Pengerusi Bersatu Johor Mazlan Bujang.

PH Johor turut merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada seluruh jentera PH, yang telah bekerja keras dan menunjukkan komitmen yang tinggi dalam kempen pilihan raya kecil ini.

Calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng memenangi kerusi parlimen itu dengan memperoleh 25,466 undi sekali gus mengalahkan pencabar terdekatnya, calon Pakatan Harapan (PH) Karmaine Sardini yang memperoleh 10,380 undi.

Calon GERAKAN, Wendy Subramaniam memperolehi 1,707 undi, calon BERJASA, Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz memperoleh 850 undi, sementara dua calon Bebas Dr Ang Chuan Lock mendapat 380 undi manakala Faridah Aryani Abdul Ghaffar sekadar mendapat 32 undi.

Keempat-empat mereka hilang wang deposit kerana tidak berjaya mendapat 12.5 peratus atau satu perlapan dari jumlah undi.

Jeck Seng, bekas Ahli Parlimen Tanjung Piai dua penggal itu merampas kembali kerusi parlimen berkenaan selepas diumumkan pemenang pada PRK itu.

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 November 2019 @ 11:40 PM