Antara wanita yang diperiksa dalam Op Noda di Taman Usahawan Kepong, Kuala Lumpur malam tadi. Foto Ihsan PDRM
Mohd Azam Shah Yaacob


KONONNYA datang melancong ke negara ini tetapi 24 wanita warga asing didapati melencong dengan bekerja sebagai wanita pelayan pelanggan (GRO) di pusat hiburan di negara ini.

Bagaimanapun, tindakan wanita Vietnam, Laos dan Thailand itu berjaya dikesan dalam Op Noda yang dijalankan Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di pusat hiburan di Taman Usahawan Kepong, Kuala Lumpur malam tadi.

Ketua Penolong Pengarah D7 JSJ Bukit Aman Datuk Rohaimi Md Isa berkata, operasi itu diketuai Ketua Unit Pencegahan Maksiat D7 Bukit Aman Deputi Superintendan Redzaimi Abd Hamid.

Menurutnya, operasi bermula 11.30 malam itu turut menahan tiga lelaki tempatan yang bekerja sebagai pengurus pusat hiburan, penjaga kaunter, bouncer (penjaga) serta masing-masing seorang lelaki Myanmar dan Thailand dipercayai pekerja di premis itu.

Katanya, polis turut menahan seorang wanita tempatan berusia 27 tahun bergelar ‘mummy’ yang dipercayai menguruskan persembahan dan penjualan ‘kalungan bunga’ serta tiara antara pelanggan dengan GRO warga asing terbabit.

“Kesemua individu yang ditahan itu berusia antara 22 hingga 51 tahun manakala GRO warga asing berkenaan terdiri daripada 21 wanita Thailand, dua (Laos) dan seorang dari Vietnam.

“Wanita terbabit didapati menyalahgunakan pas lawatan sosial dengan masuk ke negara ini sebagai pelancong tetapi bekerja sebagai GRO,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Rohaimi, pusat hiburan itu didapati sudah beroperasi sejak dua tahun lalu dan dijaga bouncer serta dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) bagi memantau kehadiran pihak berkuasa.

“Kesemua wanita warga asing berkenaan ditahan kerana melakukan kesalahan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Lima lelaki membabitkan tiga lelaki tempatan dan dua warga asing serta ‘mummy’ itu pula ditahan mengikut Peraturan 55(b) Peraturan Imigresen 1963 kerana menggaji serta melindungi warga asing yang tidak memiliki dokumen sah,” katanya.

Menurut Rohaimi, semua yang ditahan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul untuk siasatan serta tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 November 2019 @ 10:39 AM