Lori membawa muatan meja konkrit terbalik selepas dirempuh bas ekspres di Kilometer 397.2 LPT2 dekat Ajil, Kuala Berang hari ini. Foto Ihsan Pembaca
Norizuan Shamsuddin


LORI membawa muatan meja konkrit terbalik selepas dirempuh bas ekspres di Kilometer 397.2 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dekat Ajil di Kuala Berang hari ini.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila bas yang membawa 29 penumpang itu melanggar bahagian belakang lori ketika cuba memotong kenderaan berat terbabit kira-kira jam 1 pagi.

Difahamkan, lori berkenaan dalam perjalanan menghantar muatannya ke Johor.

Kemalangan turut menyebabkan lori terbabit terseret sejauh 80 meter sebelum terbalik.

Kejadian menyebabkan lelaki berusia 29 tahun yang juga pemandu lori terbabit cedera di tangan.

Pemandu bas dan kesemua penumpangnya dilaporkan terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 November 2019 @ 11:19 AM