Anggota PGA mengawasi dua lelaki warga asing yang ditahan di Hutan Simpan Sungai Sugut di Pulau Jambongan di Beluran semalam. Foto Ihsan PGA
Hazsyah Abdul Rahman


DUA warga asing ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) ketika sedang leka memotong kayu bakau di Hutan Simpan Sungai Sugut di Pulau Jambongan, Beluran semalam.

Kedua-dua lelaki berusia 36 dan 37 tahun yang dikenal pasti warga Filipina itu ditahan dalam Op Khazanah yang dijalankan di kawasan itu kira-kira 5 petang.

Pegawai Memerintah PGA Batalion 20 Beluran Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, pasukannya terserempak dua lelaki terbabit di hutan berkenaan ketika mereka sedang memotong kayu bakau.

Menurutnya, anggota bertugas kemudiannya memperkenalkan diri kepada mereka sebelum membuat pemeriksaan lanjut.

“Hasil pemeriksaan kemudiannya menemui empat longgokan kulit kayu bakau di lokasi terbabit.

“Tiga sampan kecil, tukul dan kapak disyaki digunakan untuk kegiatan terbabit turut ditemui dan dirampas,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mohd Nasaruddin berkata, pihaknya juga mendapati ada sebuah pondok kecil yang didirikan di hutan simpan berkenaan.

Menurutnya, kulit kayu yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM52,000.

Katanya, suspek juga didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan dipercayai menceroboh hutan simpan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 November 2019 @ 11:41 AM