Skip this ad x
Gambar hiasan
Hazsyah Abdul Rahman


GAJAH yang ditemui mati di kawasan ladang di Sukau di Kinabatangan semalam dipercayai berpunca daripada keracunan.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah Augustine Tuuga berkata, hasil bedah siasat mendapati haiwan terbabit tidak mempunyai kesan kecederaan luaran atau kesan peluru.

Menurutnya, bedah siasat mendapati organ gajah malang itu seperti jantung, paru-paru, hati, limpa dan buah pinggang gajah itu dilaporkan mengalami ‘severe congestion’.

“Haiwan mamalia ini dipercayai keracunan yang menyebabkan kegagalan fungsi organ sehingga membawa kepada kematiannya.

“Identiti gajah ini juga sudah dikenal pasti, ia gajah betina yang diberi nama ‘Girang’ dan antara gajah yang dipasang kolar satelit,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Augustine berkata, berdasarkan kepada rekod satelit, Girang dipercayai mati sejak 14 November lalu.

“Laporan polis sudah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan berhubung kejadian ini untuk tindakan lanjut.

“Siasatan diteruskan mengikut Seksyen 37 Enakmen Perlindungan Hidupan Liar 1997,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 November 2019 @ 11:59 AM