M Kathiresan (tengah), Lim Chee Kwang (kiri) dan P Selvanathan (kanan) dituduh di Mahkamah Sesyen Sungai Petani, hari ini. FOTO Amran Hamid.
Mohd Rizal Abdullah

mohd

TIGA lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Sungai Petani, hari ini atas tuduhan membakar kilang plastik pada April lalu.

Tertuduh, M Kathiresan, 31, P Selvanathan, 28, dan Lim Chee Kwang, 35, masing-masing diwakili peguam, KT Jayaraj membuat pengakuan itu di hadapan Hakim N Priscilla Hemamalini.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama melakukan khianat api dengan maksud hendak menyebabkan kebinasaan terhadap sebuah kilang kepunyaan Tan See Wee, 39, yang digunakan sebagai tempat simpanan harta benda.

Kesalahan dilakukan di belakang Blok B Kilang Plastik Green Mark Technology Sdn Bhd, Jalan 9, Kawasan Perindustrian Bakar Arang, Sungai Petani pada 3 pagi, 18 April 2019.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nordiyanasari Omar.

Mahkamah kemudian menetapkan 15 Disember depan untuk sebutan semula kes dan tertuduh dibenar diikat jamin masing-masing RM10,000 dengan seorang penjamin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 November 2019 @ 12:30 PM