MASIH ramai pelanggan Indah Water Konsortium (IWK) mengamalkan sikap bertangguh membayar bil pembetungan dan ada yang langsung tidak menjelaskannya untuk tempoh panjang sehingga berbelas tahun.

Ia menyebabkan kutipan tahunan syarikat pembetungan nasional itu hanya pada kadar 57 peratus.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Datuk Dr Xavier Jayakumar berkata, kutipan itu bukan menunjukkan prestasi IWK tetapi sikap pengguna sendiri yang ramai bertangguh untuk menjelaskan bil mereka.

Menurutnya, ia adalah masalah lama sehingga segelintir rakyat mempunyai persepsi tidak perlu bayar sekali gus memerlukan pendidikan bahawa mereka tetap mesti membuat bayaran.

“Kita akan mengadakan pendidikan kepada semua bahawa mereka kena bayar untuk IWK.

“Sebab itu saya adakan satu pelan jangka pendek untuk lima tahun dan pelan jangka panjang untuk 10 tahun. Dalam tempoh ini, IWK akan menjadi sebuah syarikat bertangungjawab sendiri.

“Untuk berjaya, rakyat kena faham bahawa kerja IWK ini penting kerana ia ada kaitan dengan kemajuan negara dan matlamat kelestarian untuk 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan pelepasan peserta ‘IWK 2Five Run’ dan penanaman pokok spesies hutan bagi projek hutan bandar mini IWK iaitu ‘Khazanah Rimba’ di Pantai Eco Park, Kuala Lumpur hari ini.

Hadir sama, Pengerusi IWK Amiruddin Abdul Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif IWK Narendran Maniam.

Program larian itu sempena Ulang Tahun Perkhidmatan IWK Ke-25 dengan 500 kakitangan IWK, wakil agensi Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) serta komuniti Lembah Pantai mengambil bahagian.


Dr Xavier (kiri) melakukan pelepasan peserta ‘IWK 2Five Run’ di Pantai Eco Park, Kuala Lumpur hari ini. Hafiz Sohaimi

Mengulas lanjut, Dr Xavier berkata, rakyat perlu mempunyai sikap bahawa untuk bil pembetungan IWK bahkan utiliti lain, mereka kena sanggup membayarnya.

“Sebab itu saya katakan bil bersama adalah cara terbaik sekali. Kalau bil bersama, dia (pelanggan) tak bayar untuk air, air dia potong.

“Bil bersama ini bukan menaikkan tarif dan sebagainya, sama juga tarif sekarang dengan apa dibayar untuk air sama juga tetapi dalam satu bil,” katanya.

Sementara itu, Narendran yang sedar sikap acuh tak acuh sesetengah pelanggan berkata, pihaknya mempunyai pelan untuk meningkatkan kutipan tahunan kepada 60 atau 65 peratus dan seterusnya.

“Ada yang ramai tak bayar lagi, ada tunggakan sehingga 14 tahun malah baru-baru ini ada premis yang kita block (sekat), sebab tak bayar untuk tempoh 14 tahun.

“Ia memerlukan perintah mahkamah. Kalau ada perintah mahkamah kita akan masuk,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 November 2019 @ 12:40 PM
Gambar hiasan