GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


BILANGAN mesin pencetak kad Orang Kurang Upaya (OKU) di setiap negeri akan ditambah bagi mempercepatkan pengeluaran kad berkenaan.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Hannah Yeoh berkata, tambahan itu kerana rungutan pemohon yang terpaksa menunggu berbulan lamanya untuk mendapatkan kad disebabkan setiap negeri hanya punyai sebuah mesin pencetak.

Katanya, jika mesin itu rosak, ia mengganggu proses permohonan sekali gus menyebabkan pemohon perlu menunggu lebih lama.

“Contohnya, jika mesin pencetak di Melaka rosak, mereka perlu meminjam (dari negeri berdekatan) dan ia pastinya akan mengambil masa.

“Justeru, kerajaan akan menyediakan sekurang-kurangnya dua mesin pencetak bagi setiap negeri untuk mengatasi masalah berkenaan.

“Diharapkan dengan penambahan itu, masa menunggu dapat dikurangkan dan kita menyasarkan kad dapat disiapkan dalam tempoh 30 hari sahaja selepas ini,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Simposium Antarabangsa Analisis Tingkah Laku di University Sunway, Subang Jaya, hari ini.

Menurut Hannah lagi, kerajaan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Pembangunan OKU juga sedang mempergiatkan lagi program Jom Daftar bagi menggalakkan orang ramai mendaftar ahli keluarga OKU mereka.

Katanya, kadar pendaftaran ketika ini masih rendah dan beliau berharap semua Ahli Parlimen turun padang untuk menerangkan perkara itu kepada penduduk kawasan masing-masing.

“Ketika ini, OKU berdaftar di seluruh negara sekitar 500,000 sedangkan jika mengikut unjuran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kadar sepatutnya adalah 15 peratus daripada jumlah populasi penduduk (sesebuah negara).

“Namun, bagi pelajar, seramai 11,988 kanak-kanak OKU sudah berdaftar di sekolah kerajaan sehingga Oktober lalu dan data itu menunjukkan peningkatan positif kerana kerajaan turut menyediakan peruntukan RM23 juta bagi mewujudkan kemudahan mesra OKU di sekolah,” katanya.

Sementara itu, Hannah berkata, kerajaan merancang untuk mewujudkan lima lagi pusat pembelajaran bebas (ILC) bagi tujuan pembelajaran kepada OKU menerusi peruntukan RM20 juta daripada Belanjawan 2020.

Jelasnya, ia termasuk mempersiapkan infrastruktur untuk membantu mereka hidup berdikari.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 November 2019 @ 12:52 PM