OMAR ketika ditemui media selepas Majlis Penutupan Bulan Sukan Negara PDRM Kontinjen Sabah, hari ini. FOTO Malai Rosmah Tuah.
Fardy Bungga


POLIS Sabah mewujudkan jawatankuasa khas di setiap daerah bagi memantau dan membanteras jenayah berkaitan pemburuan serta pengambilan khazanah negara secara haram.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata, jawatankuasa itu akan membabitkan Tiger Platoon, Ibu Pejabat Polis Daerah dan jabatan kerajaan yang berkaitan.

Katanya, ia tidak hanya memantau isu hidupan liar termasuk gajah, tetapi juga flora yang dilindungi di negeri itu.

“Antara jabatan yang akan dimasukkan ke dalam jawatankuasa ini adalah Jabatan Hidupan Liar, Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan dan Jabatan Hutan Sabah.

“Kita harap penubuhan jawatankuasa ini akan dapat membanteras perlakuan jenayah pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang mengaut keuntungan hasil negara,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penutupan Bulan Sukan Negara PDRM peringkat Ibu Pejabat Kontinjen Sabah, hari ini.

Omar berkata, kes berhubung kematian gajah cukup mencurigakan kerana empat gajah dilaporkan mati dalam tempoh singkat dan ada antaranya akibat dibunuh.

“Berdasarkan laporan sebelum ini, ada gajah mati akibat kesan tembakan. Oleh itu, kita akan bantu menjalankan siasatan dalam usaha membanteras kegiatan tidak bertanggungjawab ini,” katanya.

Sementara itu, berkaitan program hari ini, Omar berharap objektif yang disasarkan menerusi Bulan Sukan Negara tercapai dan kontinjen Sabah dapat membudayakan gaya hidup sihat dan meningkatkan kerjasama berpasukan lebih erat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 November 2019 @ 1:07 PM