Balqis Jazimah Zahari


KEMENTERIAN Kesihatan mengemukakan permohonan penambahan 10,675 jawatan di hospital dan klinik kerajaan bagi mengatasi masalah kekurangan kakitangan.

Timbalan Menterinya Dr Lee Boon Chye berkata, bahagian kecemasan paling kritikal kurang kakitangan selain pegawai perubatan, ahli farmasi dan pakar pergigian.

“Kita sudah mengemukakan permohonan penambahan jawatan baru-baru ini dan berharap Jabatan Perkhidmatan Awam mempertimbangkan ia untuk kelulusan tahun hadapan.

“Jika diluluskan akan memberi kelegaan dan kita boleh mempertingkatkan perkhidmatan kesihatan kepada semua rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Simposium Kesedaran Kesihatan berkenaan Penyalahgunaan Alkohol dan Komplikasi Sistematik Merokok anjuran Hospital Pakar Komuniti Perak (PCSH) dan Lee Eye Centre di Ipoh, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif PCSH, Nicholas Chan.

Dr Lee berkata, penambahan petugas kesihatan itu dipersetujui pelbagai pihak dan mendapat maklum balas positif Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan beberapa agensi lain.

“Malah (perkara itu) semasa (dinyatakan) di Dewan Rakyat turut mendapat perhatian Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang,” katanya yang memberitahu jumlah pengambilan petugas kesihatan sebelum ini dihadkan meskipun terdapat hospital, klinik dan fasiliti kesihatan baharu.

Melalui laporan audit tahun lalu, bahagian kecemasan dilapor mengalami masalah kekurangan kakitangan paling ketara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 November 2019 @ 1:42 PM