Pasangan suami isteri yang ditahan dalam serbuan AADK di Kuala Besut malam tadi. Foto Ihsan AADK
Nurul Fatihah Sulaini


WANITA hamil dua bulan bersama suami antara 13 yang ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Besut dalam satu operasi di sekitar Kuala Besut malam tadi.

Ketika serbuan di sebuah rumah, wanita berusia 34 tahun itu sedang nyenyak tidur bersama dua anaknya berusia antara setahun hingga dua tahun.

Ketua Pegawai AADK Besut Nor Hafizza Mat Zin berkata, suami wanita itu berusia 27 tahun yang bekerja di bengkel pembuatan bot pula bersembunyi di belakang pintu rumah untuk mengelak daripada ditahan.

Bagaimanapun, anggota penguat kuasa berjaya mengesan dan menahannya.

“Hasil ujian saringan awal air kencing terhadap pasangan suami isteri yang baru pertama kali ditahan itu didapati positif dadah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan& Pemulihan) APD 1983 dan Seksyen 8(3)(a) akta yang sama.

Katanya, wanita itu dibebaskan dengan jaminan AADK atas faktor kesihatan dan hamil manakala suaminya bersama 11 yang lain ditahan untuk tindakan lanjut.

“Seramai 12 anggota penguat kuasa terbabit dalam operasi yang bermula 12 tengah malam sehingga 11 pagi ini.

“Operasi seperti ini akan diteruskan bagi membendung aktiviti penagihan dadah di sekitar daerah ini dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenainya diminta menghubungi AADK bagi diambil tindakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 November 2019 @ 3:01 PM