Muhaamad Hafis Nawawi


SEMBILAN pasangan mempelai warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dirai dalam majlis Walimatul Urus PDRM di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur hari ini.

Majlis bersejarah dan kali kedua diadakan dalam kalangan warga PDRM itu diadakan di Dewan Pengaman PULAPOL anjuran Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) yang turut dihadiri Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Abdul Hamid berkata, semua pasangan itu sudah diijabkabulkan pada 11 November lalu sebelum diraikan pada hari ini.

Menurutnya, pengantin yang diraikan itu terdiri daripada sembilan anggota polis Bukit Aman, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.


Abdul Hamid (dua dari kiri) beramah mesra dangan pengantin yang diraikan di majlis Walimatul Urus PDRM di PULAPOL Kuala Lumpur hari ini. Foto Mustaffa Kamal

Katanya, pihaknya berterima kasih kepada Bank Muamalat kerana menyumbang RM100,000 bagi merealisasikan program itu.

“Kesediaan Bank Muamalat meneruskan kolaborasi ini adalah satu penghargaan kepada PDRM yang dapat mengurangkan kos perbelanjaan perkahwinan yang perlu ditanggung oleh warga polis yang ingin berumah tangga.

“Semoga usaha murni Bank Muamalat ini dapat dijadikan ikutan oleh organisasi lain bagi penganjuran program yang memberi manfaat bersama,” katanya ketika berucap di pada program terbabit.

Sementara itu, pengantin yang diraikan Lans Koperal Norasikin Abdullah berkata, dia mengenali suaminya, Lans Koperal Mohammad Zaki Firdaus Nadirin sejak kecil.

Menurutnya, dia dan suami rakan sepermainan pada waktu kecil di Kampung Parit Raja, Batu Pahat sebelum terputus hubungan.

Bagaimanapun, dia bertemu semua dengan suaminya yang berkhidmat bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Facebook (FB) pada Mac lalu.

“Terima kasih kepada Bank Muamalat kerana sudi menaja perkahwinan ini, saya sendiri tidak sangka akan terpilih selepas membuat permohonan,” katanya yang bertugas di Kontinjen Negeri Sembilan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 November 2019 @ 4:02 PM