Siti Nor Hidayatidayu Razali


DUA lelaki memiliki senjata api buatan sendiri dan dadah jenis pil kuda ditahan dalam operasi di sebuah rumah di Padang Mokan, Peringat, Kota Bharu, Khamis lalu.

Dalam operasi 4.30 petang itu, polis menemui selaras senapang patah warna hitam dan sepucuk pistol warna perak tanpa jenama disangkut di kayu bawah lantai rumah.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, operasi dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan itu turut menemui dua butir peluru penabur 12 Bore jenama Zuber warna putih dan tiga butir peluru penabur jenama Ime Mega warna hijau.

Beliau berkata, lelaki berusia 27 dan 49 tahun itu mendakwa memperoleh senjata api itu daripada seorang lelaki di Selising, Pasir Puteh.


ABDULLAH (tengah) menunjukkan senapang patah dan pistol buatan sendiri serta peluru pada sidanbg media di IPK Kelantan di Kota Bharu, hari ini. FOTO Zaman Huri Isa.

“Hasil pemeriksaan menemui 50 butir pil kuda diletakkan di dalam satu plastik lutsinar bernilai RM500.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua lelaki itu positif dadah jenis Methamphetamine dan suspek berusia 49 tahun mempunyai satu rekod kesalahan lampau berhubung kes dadah,” katanya dalam sidang media di IPK Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata, polis percaya senjata api itu digunakan untuk melakukan kes jenayah.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan sama ada senjata api itu digunakan untuk kes samun atau pecah rumah di sekitar Kota Bharu.

Katanya, mereka direman selama tujuh hari bermula kelmarin sehingga Khamis depan untuk siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjatapi 1971 dan Seksyen 8 (A) Akta Senjatapi 1960.

“Pada tahun ini, polis merampas 10 laras senjata api tiruan membabitkan lapan kes,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 November 2019 @ 4:43 PM
Skip this ad x