MOHAMMAD Ammierul Hafiz Abdul Rahman (kiri) dan Sritharan (tengah) didenda RM30,000 di Mahkamah Sesyen Ipoh. FOTO Effendy Rashid
MOHAMMAD Ammierul Hafiz Abdul Rahman (kiri) dan Sritharan (tengah) didenda RM30,000 di Mahkamah Sesyen Ipoh. FOTO Effendy Rashid
Muhammad Apendy Issahak


SYARIKAT pemasang perancah didenda RM30,000 di Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini, kerana gagal mengadakan sistem kerja selamat bagi kerja memasang perancah di Jeti Lumut Bulk Terminal, Lumut sehingga menyebabkan seorang pekerjanya maut.

Hakim Norashima Khalid menjatuhkan hukuman itu selepas dua wakil syarikat berkenaan, Mohammad Ammierul Hafiz Abdul Rahman, 26 dan S Sritharan, 36, mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Mahkamah turut memerintahkan wakil syarikat itu dipenjara enam bulan, jika gagal membayar denda,

Mengikut pertuduhan, SM Masmaju Resources sebagai majikan gagal memastikan, setakat yang praktik, keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja semua pekerja di bawah kawalannya.

Syarikat itu didakwa mengikut Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak. JKKP Perak, Shahrill Sulaiman, manakala syarikat berkenaan diwakili peguam Dalgit Singh.

Pihak pendakwaan memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap syarikat berkenaan supaya menjadi pengajaran kepada syarikat lain agar memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja.

Dalgit memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan kerana syarikat berkenaan sudah menjalankan tanggungjawab sebagai majikan dengan menghantar jenazah mangsa ke negara asal selain memberikan pampasan kepada waris mangsa.

Dalam kejadian 12.50 tengah hari 17 Julai lalu, seorang pekerja warga Bangladesh syarikat berkenaan, Kamal Hossein, 42, terjatuh ke lantai jeti dan kemudian ke dalam laut ketika menjalankan kerja memasang perancah.

Mayat mangsa ditemui 6.50 petang hari sama oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR).

Bedah siasat mendapati mangsa maut akibat pelbagai kecederaan susulan terjatuh dari tempat tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 November 2019 @ 11:24 AM
Digital NSTP Subscribe