Mohd Firdaus Ibrahim dan Mahaizura Abd Malik


BAGI menjamin ketelusan dana bantuan, sumbangan orang ramai khususnya pembaca Harian Metro akan diselaraskan di bawah Media Prima-NSTP Humanitarian Fund (Metro Prihatin).

Pengarang Kumpulan Harian Metro (HM) Tuan Mohammad Asri Tuan Hussein berkata, penubuhan Bantuan Metro Prihatin membolehkan sumbangan orang ramai disalurkan dengan lebih mudah dan konsisten selain penyeliaan dana lebih terkawal serta mampu mengelakkan penyalahgunaan.

“Sejak 28 tahun kewujudan Harian Metro, akhbar ini sering memuatkan pelbagai kisah masyarakat serta rayuan daripada golongan kurang bernasib baik dan sejak lima atau enam tahun lalu kisah ini dikumpulkan dalam satu ruangan tetap dinamakan Metro Prihatin.

“Apabila kami siarkan artikel itu, bagi memudahkan urusan bantuan, amalan kami ialah memaparkan nombor akaun penerima untuk memudahkan saluran bantuan.

“Namun, selepas sekian lama cara ini dipraktikkan, timbul isu lain seperti terima dana melebihi daripada diperlukan selain kami juga mengesan nombor akaun penerima ditukar.

“Jadi inilah yang mendorong kami untuk menyelaras usaha pengumpulan dana sumbangan ke dalam satu akaun supaya ia dapat disalurkan kepada setiap penerima dengan cara lebih berhemah dan teratur,” katanya pada Majlis Pelancaran Bantuan Metro Prihatin ibu pejabat The New Straits Times Press (M) Berhad, di Kuala Lumpur, hari ini.

Lebih manis, pelancaran Bantuan Metro Prihatin yang bernaung di bawah Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP itu dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.


TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (tengah) dan Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Syed Hussain Aljunid (empat dari kanan) bergambar bersama penaja pada majlis Pelancaran Bantuan Metro Prihatin . Turut hadir, Pengarang Kumpulan Harian Metro, Tuan Mohammad Asri Tuan Hussein (empat dari kiri). FOTO Asyraf Hamzah

Turut hadir, Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad (Media Prima) Datuk Syed Hussian Aljunid, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Datuk Kamal Khalid, Pengerusi The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad Tan Sri Ismail Omar, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP Toh Puan Dr Aishah Ong.

Hadir sama, penyumbang korporat terdiri daripada Tenaga Nasional Berhad yang diwakili Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat Datuk Omar Sidek; Pengerusi Eksekutif Mimi Suri Heritage Sdn Bhd Amri Hasim; Pengasas Madrasatul Faridiyah Datuk Jawahar Ali Taib Khan; Pengerusi Al Ali Maju Group Mohamed Ali Jinnah Mastan Gani; Ketua Pegawai Operasi Pharmaniaga Berhad Mohamed Iqbal Abdul Rahman serta Eksekutif Kanan Komunikasi Korporat Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS) Mustafa Akmal Ariffin.

Majlis berkenaan turut menampilkan tiga penerima yang pernah dibantu menerusi laporan ruangan Metro Prihatin iaitu adik Eusuf Muhammad Idzfan berusia tiga tahun didukung ibunya Djasriza Jasin, Muhammad Helmi Firdaus Abdul Halid serta Abu Bakar Ahmad atau lebih dikenali dengan nama Tawil.

Tuan Mohammad Asri berkata, sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Maybank 514271655386 atau Affin Islamic Bank 105280004378 atas nama Media Prima-NSTP Humanitarian Fund (Metro Prihatin) atau cek kepada Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Media Prima Berhad di Balai Berita.

Katanya, media turut berperanan dalam membantu kerajaan mendekati masyarakat memerlukan serta menjadi orang tengah menyelesaikan masalah dihadapi golongan itu.

“Kadang-kadang kerajaan tidak tahu apa yang berlaku atau mungkin tiada mekanisme jadi ini tugas dan tanggungjawab kita juga untuk memastikan dengan siapa kita hendak salurkan bantuan.

“Sebab itu tabung ini diwujudkan, supaya penyaluran bantuan ini akan mengikut prosedur operasi standard (SOP) syarikat dan jumlah disalurkan mengikut keperluan penerima.

“Kaedah ini juga akan mengelak kita diperalatkan dan daripada sebarang penipuan, kami akan meneliti dan menyemak terlebih dahulu dengan pihak berkaitan termasuk wakil rakyat, ketua kampung, imam, ahli jawatankuasa masjid selain agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Baitulmal untuk mengetahui sejauh mana tulennya kes itu serta menentukan sama ada golongan sasar itu layak atau tidak.

"Sama seperti matlamat kami menyiarkan artikel itu, kami akan menjadi orang tengah berhubung dengan pihak berkaitan bagi menyelesaikan masalah atau memenuhi keperluan mereka seperti dana perubatan, rumah dan sebagainya,” katanya.

Berita berkaitan

TPM lancar Bantuan Metro Prihatin [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 November 2019 @ 1:58 PM