Azzman Abdul Jamal


MAJLIS Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) memperuntukkan RM1.41 juta untuk disalurkan kepada 169 institusi Pendidikan Islam di negeri itu.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, peruntukkan itu sebagai bantuan sokongan kepada sekolah agama, pusat tahfiz dan tadika Islam bagi memperkasakan aktiviti berkaitan Pendidikan Islam.

“Peruntukkan ini akan diagihkan kepada mereka yang belajar di sekolah agama rakyat serta Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) persendirian untuk membantu meringankan beban mereka selain dapat menjalankan aktiviti bermanfaat.

“Pastinya 14,000 pelajar akan menerima manfaat daripada peruntukan ini dan ia adalah antara usaha dalam membantu masyarakat Islam supaya dapat keluar daripada kelompok kemiskinan,” katanya.


AMINUDDIN (lima dari kiri) bergambar bersama pemenang perarakan Maulidur Rasul Peringkat Negeri pada majlis di Seremban, hari ini. FOTO Hasriyasyah Sabudin.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Bantuan Perkapita dan Dermasiswa bagi Institusi Pendidikan Islam Negeri Sembilan 2019.

Mengulas lanjut, Aminuddin turut mencadangkan supaya program seumpama diadakan pada awal tahun supaya memudahkan penerima merancang aktiviti dengan lebih teratur selain dapat memastikan penyaluran dana yang lebih cekap.

Katanya, kerajaan negeri juga meminta MAINS mengkaji secara menyeluruh khususnya bagi membantu mengeluarkan masyarakat Islam daripada kelompok kemiskinan.

“Ini termasuk mengemukakan inovasi baharu, penyaluran bantuan yang lebih teratur dan memastikan pihak penerima dapat meraih manfaat sepenuhnya.

“Kita tidak mahu lagi bantuan sebegini disalurkan menggunakan cara lama yang konvensional sebaliknya menggunakan pendekatan moden supaya penyampaiannya lebih baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 November 2019 @ 5:58 PM