GAMBAR hiasan
BERNAMA

SEBANYAK 15 kawasan di Gombak dan 17 di Hulu Selangor membabitkan 22,958 akaun pelanggan berdaftar akan terjejas dengan gangguan bekalan air sementara minggu hadapan, berikutan pelaksanaan kerja menaik taraf sistem bekalan air di Kolam Sedut Bukit Kanching.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan bahawa gangguan bekalan selama 20 jam itu akan bermula pada 9 malam Khamis (28 November).

“Bekalan air akan dibuka sejurus kerja menaik taraf siap dan disasarkan pulih sepenuhnya pada 5 petang Jumaat (29 November),” menurut kenyataan Air Selangor hari ini.

Di Gombak, kawasan gangguan meliputi Aman Siara, Kampung Selayang Permai, Selayang Heights, Bandar Baru Selayang, One Sierra, Taman Bukit Idaman, Idaman Hill, Perdana Residensi, Taman Puncak Templer, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, Perindustrian Taman Selayang Baru, Taman Selayang Baru, Kampung Selayang Baru, Prima Selayang dan Taman Selayang Segar.

Di Hulu Selangor, ia merangkumi Dolomite Templer, Prima Ville, Taman Mawar 355, Kampung Melayu Batu 16, seluruh perniagaan Reef/Tesco, Taman Setia, Kampung Sungai Samak, Rawang Perdana, Taman Setia Jaya, Perindustrian Massalam, Taman Tun Perak, Taman Tun Teja, sebahagian Bukit Rawang Putra (flat), Taman Desa Sri Bayu, Templer Saujana, seluruh kawasan Templer dan Taman Kanching Jaya.

Pelanggan berkenaan dinasihat menyimpan bekalan air bagi kegunaan sepanjang tempoh gangguan.

Air Selangor juga akan menggerakkan bantuan lori tangki air dengan keutamaan kepada premis kritikal serta kecemasan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 November 2019 @ 6:39 PM