Ahmad Zahid pada perbicaraan kes pecah amanah membabitkan dana milik Yayasan Akalbudi hari ini. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Sarah Zulkifli


SAKSI pertama kes pecah amanah dana Yayasan Akalbudi dihadapi Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, bahawa yayasan itu ditubuhkan bagi tujuan khairat.

Pinny Asnan, 39, yang juga Eksekutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) berkata, Yayasan Akalbudi yang pada mulanya bernama Yayasan Budi itu ditandatangani pengasasnya, Ahmad Zahid dan Zulkifli Senteri pada 7 Mac 1997.

“Syarat terkandung dalam lesen yayasan berkenaan di bawah Seksyen 24 (1) Akta Syarikat 1965 antara lain dilarang oleh perlembagaannya daripada membayar apa-apa dividen kepada ahli-ahlinya.

“Lesen ini keluarkan pada 10 Julai 1996 yang ditandatangani Allahyarham Tan Sri Abu Hassan Omar iaitu Menteri di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia ketika itu,” katanya ketika membaca keterangan saksi di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Pinny yang mula berkhidmat di Unit Siasatan SSM berkata, berdasarkan Memorandum dan Artikel Pertubuhan Yayasan Akalbudi, objektif penubuhannya adalah untuk menerima dan mentadbir dana untuk membasmi kemiskinan.

“Antara tujuan penubuhan yayasan itu adalah sebagai penaja biasiswa dan kajian dalam bidang sosio politik ekonomi.

“Tujuan lain penubuhan yayasan itu adalah untuk melanggan atau menyumbang kepada pembayaran penubuhan penyelenggaraan, pembangunan badan kebajikan atau saintifik dan yang berkaitan.

“Selain itu, yayasan terbabit menerima pelbagai bentuk sumbangan serta bekerjasama dengan pihak berkuasa dengan usaha sama kerajaan negeri dan persekutuan,” katanya.

Sementara itu, ketika disoal peguam bela Datuk Ahmad Zaidi Zainal dalam sesi soal balas, Pinny berkata, pada pengetahuannya tujuan penubuhan Yayasan Akalbudi untuk menganjurkan tujuan khairat.

AHMAD ZAIDI : Apakah maksud khairat pada pandangan anda?

PINNY : Pada pandangan saya, khairat adalah aktiviti berkaitan kebajikan.

AHMAD ZAIDI :Itu saja awak tahu?

PINNY : Ya

AHMAD ZAIDI : Tahukah anda ‘khai’ dalam bahasa Arab bermaksud kebaikan?

PINNY : Tidak

AHMAD ZAIDI : Adakah anda setuju perkataan ini merangkumi amal jariah, infaq, wakaf dan sedekah dan lain-lain tujuan kebaikan?

PINNY : Bagi saya khairat bermaksud perkara bermotifkan kebajikan.

Pada 19 Oktober dan 14 Disember 2018, serta 20 Februari tahun ini Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Bagi pertuduhan pecah amanah, Ahmad Zahid, 66, didakwa menggunakan dana berkenaan untuk membuat enam pembayaran kad kredit milik persendirian, polisi insurans kenderaan dan lesen motor persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Perbicaraan bersambung esok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 November 2019 @ 7:02 PM