LELAKI yang menyamar sebagai pegawai kastam dan memeras ugut beberapa peniaga di bandar Paka, Dungun ditahan polis malam tadi. FOTO Rosli Ilham.


TINDAKAN seorang penjawat awam menyamar sebagai Pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan dipercayai memeras ugut beberapa peniaga di sekitar bandar Paka, Dungun, berakhir selepas dia ditahan malam tadi.

Suspek berusia 32 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari Balai Polis Paka di Jalan Besar Paka pada 9 malam.

Penahanan suspek dilakukan susulan laporan polis daripada beberapa peniaga kedai kotak berhubung kegiatan lelaki terbabit yang memeras ugut mereka.

Difahamkan suspek adalah seorang pembantu penguat kuasa di satu kementerian di Cyberjaya dan berkahwin dengan pasangannya yang tinggal di Ketengah Jaya.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan mengenai penahanan suspek terbabit.

Katanya, siasatan mendapati suspek sudah lebih sebulan menjalankan aktiviti berkenaan.

“Modus operandi suspek ialah menyamar sebagai pegawai JKDM yang mahu memeriksa kedai disyaki memiliki dan menjual rokok seludup sebelum meminta wang sebagai dorongan untuk tidak dikenakan sebarang tindakan.

“Suspek dipercayai sudah lama tidak hadir bertugas dengan jabatannya dan semakan polis mendapati dia mempunyai satu rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.

“Suspek kini direman bagi siasatan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana memeras ugut dan Seksyen 170 akta sama kerana menyamar sebagai pegawai JKDM,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 November 2019 @ 7:31 PM