Usahawan wanita sangat berdisiplin dalam membayar balik pinjaman TEKUN. FOTO Arkib NSTP
Mohd Husni Mohd Noor


KEMENTERIAN Pembangunan Usahawan (MED) mendapati usahawan wanita sangat berdisiplin dalam membayar balik pinjaman Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) sejak tabung itu diperkenalkan 20 tahun lalu.

Menterinya Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata, keadaan itu memberi keyakinan kepada TEKUN untuk memberi bantuan lebih kepada usahawan wanita di bawah pembiayaan berkenaan.

“Kaum hawa lebih berdisiplin untuk bayar balik kepada TEKUN.

“Saya nak nyatakan di sini...tahniah kepada usahawan wanita TEKUN...mereka adalah masyarakat yang berdisiplin untuk bayar balik kepada TEKUN,” katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2020 bagi kementeriannya di Persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan dikemukakan Datuk Dr Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) mengenai pembabitan usahawan wanita di bawah TEKUN.

Katanya, dari 1998 hingga 31 Oktober lalu, TEKUN sudah menyalurkan RM2.7 bilion daripada RM5.6 bilion pembiayaan kepada usahawan wanita.

Mohd Redzuan berkata, berdasarkan jumlah peminjam pula, usahawan wanita mewakili 56 peratus iaitu 319,803 orang daripada keseluruhan 575,870 peminjam TEKUN.

Menjawab soalan Noraini yang mahu mendapatkan penjelasan sama ada kerajaan mahu mengecilkan atau membubarkan TEKUN, Mohd Redzuan berkata, ia terpulang kepada kerajaan sama ada dijenamakan semula atau menstrukurkan semula agensi itu.

“Bagaimanapun, mulai tahun depan TEKUN akan memulangkan semula RM20 juta setahun kepada kerajaan.

“Ia (pulangan) adalah hasil pembaikan pengurusan membabitkan RM5.6 bilion agihan pembiayaan yang disalurkan TEKUN selama ini,” katanya.

Sementara itu, menyentuh kebimbangan sesetengah pihak berkenaan pengurangan peruntukan kepada TEKUN, Mohd Redzuan berkata, biarpun hanya RM105 juta peruntukan pembiayaan tahun depan, TEKUN akan menambah RM250 juta dengan dana pengurusan agensi itu sendiri.

“Hasil dari urus tadbir yang baik, dana suntikan ini dapat kita tingkatkan.

“Tahun lalu, kita dapat RM120 juta tapi kita belanjakan RM330 juta untuk usahawan TEKUN.

“Tahun ini, insyAllah kita akan tambah guna dana pengurusan kita sendiri tanpa harap kerajaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 November 2019 @ 8:00 PM