DATUK Seri Mohd Redzuan Yusof. FOTO Arkib NSTP.
Mohd Husni Mohd Noor


SEJUMLAH RM20 juta diperuntukkan bagi membangunkan ‘Olympic Village’ iaitu perkampungan bagi usahawan Malaysia berniaga di temasya Sukan Olimpik dan Paralimpik, Tokyo, tahun depan.

Menteri Pembangunan Usahawan (MED) Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata, peruntukan akan membabitkan penyediaan gerai dan dapur halal sekali gus membolehkan pengunjung menikmati makanan serta produk halal usahawan Malaysia.

“Olympic Village itu akan memanfaatkan lebih 40 juta pengunjung yang disasarkan ke temasya sukan terbesar dunia itu.

“Kerajaan Jepun cuma memberi kawasan (tapak), jadi kita jadi pemudah cara dengan menambah peruntukan supaya kawasan itu boleh dibangunkan untuk pengunjung olimpik datang menikmati produk halal kita,” katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2020 bagi kementeriannya di Persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Katanya, menerusi inisiatif itu, ia dijangka memberikan pulangan yang besar kepada usahawan Malaysia memandangkan pasaran halal di Jepun sahaja bernilai RM1.2 bilion.

Sebelum ini, Mohd Redzuan memaklumkan, kementerian sudah mengenal pasti empat syarikat yang akan diberi tanggungjawab bagi memasarkan pelbagai produk halal dari negara ini pada temasya sukan itu.

“Kementerian sedang membantu syarikat swasta dan korporat tempatan itu memenuhi kehendak Majlis Olimpik Jepun sesuai dengan standard acara sukan berkenaan.

“Pada tahun lalu, saya sudah berbincang dengan Menteri Ekonomi Jepun dan persetujuan dicapai dengan mereka untuk menyediakan ruang bagi produk halal kita,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 November 2019 @ 8:45 PM