PENDUDUK mengutip kerang bulu yang terdampar di pantai. FOTO Ihsan Pembaca
Ahmad Rabiul Zulkifli


SELEPAS Pantai Rhu Dua, Rusila kini Pantai Pandak di Chendering, Kuala Terengganu pula menjadi perhatian penduduk berikutan kerang bulu terdampar banyak di pantai itu sejak semalam.

Difahamkan, orang ramai mula memenuhi pantai itu seawal 4 petang untuk memungut kerang bulu yang terdampar di pantai berkenaan.

Penduduk, Madi Abdullah, 40, dari Kampung Chendering berkata, sebelum ini kerang bulu hanya terdampar dan banyak di Pantai Rhu Dua tetapi kini Pantai Pandak di Chendering pula menjadi lokasi terbaru kerang itu terdampar.

“Banyak juga yang berjaya dipungut penduduk. Walaupun kerang itu dihanyutkan air sebelum terdampar di pantai, ia masih elok dan tidak mati.

“Disamping memungut kerang bulu yang terdampar, sebahagian penduduk pula mencarinya menggunakan sauk jaring dan baldi di tengah pantai.

“Seronok juga mencari kerang bulu, maklumlah musim haiwan itu mendarat di pantai di negeri ini hanya setahun sekali,” katanya.

Madi berkata, Pantai Pandak berpermukaan landai dan kurang berisiko dibandingkan di Pantai Rhu Dua kerana permukaan pantai yang cetek pada waktu petang berikutan air surut.

“Sekiranya air pasang, kami pun tidak mengharung hingga ke tengah, kami enggan mengambil risiko hanya semata-mata mencari kerang.

“Memadai hanya memungut kerang bulu yang terdampar atau berada di kawasan yang cetek sahaja.

“Penduduk sepakat melarang kanak-kanak mengharungi air untuk mencari kerang itu kerana ia berisiko kepada mereka,” katanya.

Menurutnya, ribuan kerang bulu yang naik ke permukaan pantai dan dihanyutkan arus deras itu ialah fenomena biasa setiap hujung tahun.

“Penduduk memang menantikan kerang bulu itu mendarat kerana ia menjadi hiburan dan aktiviti berkeluarga untuk mencarinya.

“Selain kerang bulu, pantai itu juga terkenal dengan musim udang baring dan remis yang berlaku pada April hingga Julai,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan ratusan penduduk memenuhi Pantai Rhu Dua berikutan kemunculan kerang bulu di pantai berkenaan.

Disebabkan terlalu kemaruk mencari kerang bulu menyebabkan segelintir penduduk mengabaikan keselamatan mereka dengan mengharungi Pantai Rhu Dua, Rusila.

Berita berkaitan

Bukan petanda tsunami

Pesta kerang bulu di Pantai Rhu Dua

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 November 2019 @ 9:00 PM