FAUZIAH (tiga dari kanan) membantu kanak-kanak membaca al-Quran Braille Digital di Georgetown, hari ini. FOTO Ramdzan Masiam.
Zuhainy Zulkiffli


KESUNGGUHANNYA mempelajari bacaan al-Quran bertulisan Braille sejak empat tahun lalu amat dikagumi meskipun mempunyai masalah penglihatan sejak lahir.

Malah, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pendidikan Khas Alma, Bukit Mertajam itu, Nasrin Nazrie, 10, turut memukau hadirin dengan memperdengarkan bacaan al-Quran dalam satu majlis di Georgetown, hari ini.

Nasrin berkata, berikutan mengalami penyakit saraf belakang mata rosak sejak lahir, pandangannya kabur dan tidak boleh membaca walaupun pada jarak dekat.

Katanya, dia mula belajar membaca al-Quran Braille sejak berusia tujuh tahun dengan dibantu guru.

“Ibu dan bapa turut membantu, namun pengajaran itu terhad kerana mereka kurang mahir membaca tulisan Braille.

“Kini saya sudah boleh membaca sehingga 27 juzuk dan berazam mahu khatam pada tahun depan,” kata anak sulung daripada tiga beradik itu.

Nasrin ditemui pada Majlis Penyerahan Wakaf al-Quran Braille Digital di Tanjung Bunga, Georgetown, hari ini.

Pada majlis anjuran Pertubuhan Kebajikan Orang Kurang Upaya Penglihatan Prihatin (PKOPP) itu, sekolah berkenaan menerima sumbangan 52 naskhah al-Quran Braille Digital daripada Pertubuhan Kebajikan Shafar Johor Bahru serta 10 lagi kepada saudara baru.

Hadir sama pada majlis itu ialah Presiden Pertubuhan Kebajikan berkenaan, Fauziah Shaik Omar dan Presiden PKOPP, Hafiz Kassim.

Nasrin berkata, sumbangan naskhah al-Quran Braille Digital berkenaan amat dihargai dan akan dimanfaatkan sepenuhnya bersama adik bongsu, Nazhan, lima tahun, yang menghidap penyakit sama.

Katanya, Nazhan kini sudah belajar mengenal huruf asas dan dia lebih cepat belajar kerana minat membaca.

“Jika saya sudah mahir menggunakan al-Quran ini, bolehlah saya bantu Nazhan nanti, malah dapat membaca bersama di rumah.

“Cita-cita saya mahu menjadi guru pendidikan khas supaya dapat membantu golongan senasib,” kata anak pasangan pekerja kilang dan suri rumah itu.

Sementara itu, Fauziah berkata, sejak 2016, pertubuhan itu menyumbangkan 400 naskhah al-Quran Braille Digital hasil wakaf orang ramai.

“Berikutan al-Quran ini sukar diperoleh malah harganya agak mahal iaitu RM400, kami mengalu-alukan sumbangan wakaf daripada orang ramai bagi membantu golongan ini.

“Tahun depan, kami berharap dapat menyumbangkan 300 naskhah lagi kepada golongan yang memerlukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 November 2019 @ 9:46 PM