Hadzlihady Hassan


BAYI lelaki tujuh bulan lebam di bahagian kanan muka dipercayai akibat didera pengasuh di sebuah taska, di Balik Pulau, semalam.

Kejadian itu hanya disedari ibu bayi terbabit jam 5.30 petang selepas dia mengambil anaknya di pusat asuhan terbabit sebelum menghubungi suaminya memaklumkan keadaan anak mereka.

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Deputi Superintendan Jafri Md Zain berkata, ketika itu, bapa bayi berkenaan berada di tempat kerja.

Beliau berkata, wanita itu kemudian membawa bayinya itu ke Hospital Balik Pulau untuk pemeriksaan.

“Sehingga kini, bayi berkenaan terpaksa ditahan di hospital untuk pemeriksaan lanjut bagi mengesan punca berlakunya lebam di pipi mangsa.

“Susulan daripada itu, bapa bayi terbabit yang berusia 42 tahun membuat laporan polis berhubung kejadian yang menimpa anaknya itu malam tadi,” katanya.

Jafri berkata, dalam keterangannya, bapa bayi berkenaan memberitahu yang dia menghantar anaknya itu ke taska terbabit, sejak awal November lalu.

“Setakat ini, kita dapati yang premis terbabit tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) dan siasatan lanjut akan dilakukan di taska itu, hari ini.

“Kita akan mengambil keterangan daripada guru serta kakitangan taska terbabit untuk mengesan punca kesan lebam di muka bayi berkenaan,” katanya.

Menurutnya, setakat ini laporan awal dari hospital mendapati memang terdapat kesan lebam di bahagian kanan muka bayi berkenaan namun tiada pendarahan berlaku.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 November 2019 @ 10:05 AM
GAMBAR hiasan