Shamsul Munir Safini


LELAKI mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini terhadap pertuduhan memberikan keterangan palsu di mahkamah pada 16 Jun 2015.

Tertuduh, Anuar S Mohamad Ibrahim, 35, membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norhayati Mohamad Yunus.

Hakim kemudiannya menetapkan 3 Januari nanti sebagai tarikh sebutan semula untuk fakta kes dan hukuman.

Berdasarkan kertas pendakwaan, Anuar pada 16 Jun 2015 di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Balik Pulau didapati memberi keterangan tidak selaras mengenai satu kes rasuah dengan penyataan kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum itu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 27(1)(b) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100, 000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Zander Lim Wai Keong memohon mahkamah menetapkan satu tarikh bagi mengemukakan fakta dan hujahan kes.

Lim juga memohon mahkamah menetapkan ikat jamin RM10, 000 ke atas tertuduh.

Peguam tertuduh, Ghazali Ismail kemudiannya memohon mahkamah mengurangkan ikat jamin terhadap anak guamnya itu dengan alasan tertuduh memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa.

Norhayati kemudian menetapkan ikat jamin RM5, 000 dengan seorang penjamin ke atas tertuduh selain pasport diserahkan kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri ke pejabat SPRM setiap bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 November 2019 @ 10:42 AM
Gambar hiasan