DR MAHATHIR Mohamad. FOTO Arkib NSTP
Mohd Firdaus Ibrahim


“SAYA dengar (pertemuan itu) tetapi tak tahu apa-apa (dibincangkan),” kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pertemuan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) di rumah Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Presint 10, Putrajaya, malam tadi.

Biarpun diasak dengan soalan oleh wartawan mengenai agenda pertemuan itu, Mahathir sekali lagi mengulangi jawapannya; “Saya dengar tetapi tak tahu apa yang berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kongres dan Pameran Antarabangsa Industri Minyak Sawit (PIPOC) 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan sekumpulan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) hadir ke kediaman Mohamed Azmin, malam tadi.

Wakil rakyat berkenaan dipercayai berada di situ sejak 7 malam sebelum beransur-ansur meninggalkan kediaman Mohamed Azmin mulai 11 malam.

Antaranya, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Naib Presiden PKR, Zuraida Kamarudin, yang menjadi wakil rakyat terakhir keluar dari rumah berkenaan.

Sebelum itu, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Kamaruddin Jaffar; Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Mastura Mohd Yazid, Datuk Abdul Rahman Mohamad (BN-Lipis) dan Datuk Seri Ismail Abd Muttalib (BN-Maran).

Ahli Parlimen Cameron Highlands (BN) Ramli Mohd Nor yang turut hadir ketika diminta mengulas lanjut mendakwa tiada apa-apa yang dibincangkan dalam pertemuan berkenaan.

Pemimpin lain yang turut hadir ialah Datuk Seri Ahmad Hamzah (Jasin); Datuk Seri Shahidan Kassim (Arau); Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said (Kuala Krau); Datuk Hasbullah Osman (Gerik).

Selain itu Mohd Shahar Abdullah (Paya Besar); Datuk Jamaluddin Alias (Jelebu); Datuk Seri Azalina Othman Said (Pengerang) serta Datuk Noraini Ahmad (Parit Sulong) yang juga Ketua Pergerakan Wanita UMNO.

Berita berkaitan

Azmin jumpa Ahli Parlimen BN

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 November 2019 @ 12:12 PM