Gambar hiasan
Siti Sofia Md Nasir


KEMENTERIAN Air, Tanah dan Sumber Asli bercadang untuk menggubal dasar dan peraturan baru bagi pengurusan semua empangan di negara ini di bawah satu kendalian.

Menterinya, Datuk Dr Xavier Jayakumar berkata, peraturan baru itu akan membabitkan semua pengurusan empangan di setiap negeri untuk menghantar maklumat terkini mengenai keadaan dan pengoperasian empangan masing-masing.

“Peraturan yang kita cadangkan ini untuk kita minta semua pengurusan empangan termasuk di bawah kendalian syarikat swasta supaya menghantar laporan kepada kementerian.

“Ini bagi memastikan semua empangan di Malaysia sentiasa berada dalam keadaan baik dan terkawal,” katanya ketika sidang media selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa, Pengurusan Keselamatan Empangan (ICDSME2019) di Georgetown hari ini.

Menurutnya, pelaksanaan peraturan baru itu dijangka dikuatkuasakan sekurang-kurangnya sebelum akhir tahun hadapan.

“Perkara ini akan ambil masa, namun kita akan pastikan ia dikuatkuasakan bagi memastikan semua empangan dalam keadaan baik,” katanya.

Ketika ini negara mempunyai 104 empangan dengan pelbagai fungsi seperti bekalan sumber air, pengairan pertanian, tebatan banjir dan penjanaan elektrik.

Sementara itu, Dr Xavier berkata, Kerajaan Persekutuan komited untuk memastikan Pulau Pinang menerima bekalan air mentah dari Perak seperti yang dirancang sebelum ini.

“Kami merancang untuk melaksanakannya mengikut Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12). Kita akan pastikan kedua-dua pihak menang-menang,” katanya.

Projek Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS) membabitkan cadangan projek pengalihan air dari Sungai Perak, Perak ke Sungai Kerian, Pulau Pinang dengan pelaksanaannya akan dibuat menerusi kaedah Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI).

Ia dirancang bagi memenuhi keperluan sumber air mencukupi kepada rakyat dan industri di Pulau Pinang, selain menjadi alternatif kepada pembekalan sedia ada yang kini bergantung kepada Sungai Muda, Kedah.

SPRWTS dicadangkan sejak 2014 dengan pelaksanaannya akan turut memanfaatkan rakyat di utara Perak apabila sumber air mentah dialihkan ke Sungai Kerian kemudian akan diekstrak.

Pulau Pinang juga dikatakan akan membina loji rawatan air di sempadan negeri itu untuk menyalurkan bekalan mentah berkenaan ke kawasan lain di negeri ini dan utara Perak.

Bagaimanapun, ia tidak dipersetujui kerajaan Perak yang hanya mahu menjual air terawat kepada Pulau Pinang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 November 2019 @ 2:44 PM