PASUKAN penyelamat membantu memindahkan mangsa yang terjejas banjir. FOTO Ihsan PDRM/APM.
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


HUJAN lebat dua jam di sekitar Penjom, Lipis, semalam menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air sehingga memaksa 24 penduduk membabitkan empat keluarga dipindahkan.

Dua kampung yang terjejas adalah Kampung Lalang Penjom dan Kampung Batu 4, manakala dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Balai Raya Kampung Lalang dan Sekolah Kebangsaan (SK) Penjom.

Ketua Polis Daerah Lipis Superintendan Azli Mohd Noor berkata, hujan lebat berterusan bermula 8 malam menyebabkan air Sungai Lipis melimpah dan menenggelamkan kawasan rendah.

“Seramai 17 orang dipindahkan ke Balai Raya Kampung Lalang manakala, di SK Penjom seramai tujuh orang ditempatkan di situ.

“Kita anggarkan dua kampung berkenaan ditenggelami air sedalam kira-kira satu meter dan kerja pemindahan mangsa dilakukan bermula 8 pagi tadi (hari ini),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azli berkata, Jambatan Kampung Binjai dan Jambatan Kampung Lalang turut ditutup daripada semua jenis kenderaan.

“Kita juga mengesan berlakunya tanah runtuh di Jalan Kampung Lalang, namun skala kecil. Kita masih membuat pemantauan di kawasan berkenaan.

“Trend air kini dilihat semakin menurun dan semua mangsa akan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas air surut sepenuhnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 November 2019 @ 2:53 PM