ALI tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO Asyraf Hamzah
Murni Wan Omar


SEORANG saksi memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengarahkan bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dipecat dan tidak dibenarkan membawa sebarang dokumen keluar daripada pejabatnya.

Bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Ali memberi keterangan dalam kes Najib yang didakwa menggunakan kedudukannya meminda Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebelum ia dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bersama bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.

Najib diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah manakala Arul Kanda diwakili peguam Datuk N Sivananthan.

Sri Ram membangkitkan isu Gani yang diarahkan mengosongkan jawatannya pada Julai 2015 dan berhubung pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

SRI RAM: Pada 24 Februari 2016, siapa Peguam Negara yang menghadiri mesyuarat yang diarahkan oleh Najib berhubung isu Laporan Audit 1MDB.

ALI: Tan Sri Mohamed Apandi Ali

SRI RAM: Siapa Peguam Negara sebelum beliau?

ALI: Tan Sri Abdul Gani Patail

SRI RAM: Boleh beritahu mahkamah dalam ayat anda sendiri, kenapa Gani ‘meninggalkan’ pejabat beliau?

ALI: Hilang kepercayaan kepada Gani.

SRI RAM: Kenapa hilang kepercayaan?

ALI: Apabila saya menyerahkan surat itu kepada Gani, memaklumkan kepadanya bahawa beliau dilepaskan daripada jawatan Peguam Negara, Gani berkata sudah tahu perkara ini akan berlaku. Ada dua surat, Najib menyerahkan kepada Yang Di-Pertuan Agong manakala saya menyerahkan kepada Gani.

SRI RAM: Kenapa kamu menjadi ‘bearer of bad news’ (penyampai berita buruk)?

ALI: Ia adalah kerana saya yang menandatangani surat itu, saya menyerahkan kepada Gani dan memaklumkan supaya tidak membawa keluar sebarang dokumen daripada pejabat.

SRI RAM: Adakah anda tahu apa yang membawa kepada hilang kepercayaan ini?

ALI: Pada masa itu, Kabinet kecoh dengan isu Tan Sri Muhyiddin Yassin, saya dimaklumkan oleh Najib dan beberapa individu lain bahawa secara kebetulan beliau (Muhyiddin) ada bertemu Gani di sebuah kompleks membeli-belah di Kuala Lumpur.

SRI RAM: Kamu tahu mengenai kenapa?

ALI: Beliau (Muhyiddin) paling banyak mempersoalkan isu 1MDB.

SRI RAM: Kamu tahu apa berlaku pada Muhyiddin?

ALI: Beliau dilepaskan dari jawatannya ketika itu.

SRI RAM: Kamu tahu kenapa beliau dipecat?

ALI: (Mendiamkan diri)

SRI RAM: Kamu adalah Ketua Setiausaha kepada Kabinet, kepada negara, kepada kerajaan. Kamu juga memberi keterangan bahawa Muhyiddin banyak bertanya soalan berhubung 1MDB dalam Kabinet. Kamu juga baru memberitahu mahkamah bahawa beliau (Muhyiddin) dibuang dari Jabatan Perdana Menteri, fakta berhubung pembuangan itu, adakah ia dalam pengetahuan kamu?

ALI: Ia tiada dalam pengetahuan saya kerana ia adalah prerogatif Perdana Menteri. Bila kami duduk dalam mesyuarat Kabinet, kami lihat perbalahan yang berlaku, selalunya hanya sebelah pihak, Muhyiddin mempersoalkan berhubung 1MDB, kami tahu sesuatu akan berlaku?

SRI RAM: Ada sesuatu berlaku?

ALI: Ya, beliau dipecat.

Najib diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah manakala Arul Kanda diwakili peguam Datuk N Sivananthan.

Najib didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan pada Laporan Akhir Pengauditan 1MDB sebelum ia dibentangkan kepada PAC bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya manakala Arul Kanda dituduh bersubahat dengan Najib berhubung kesalahan sama.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 Februari 2016 dan 26 Februari 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 November 2019 @ 3:11 PM