DR Ahmad Zahid dan pemimpin UMNO pada sidang media, hari ini. FOTO Asyraf Hamzah.
Sarah Zulkifli


“UMNO serahkan sepenuhnya perkara ini kepada Jawatankuasa (Lembaga) Disiplin bagi menjalankan siasatan,” kata Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau mengulas pertemuan sulit antara Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersama sekumpulan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) di Putrajaya, semalam.

Ahmad Zahid berkata, pihaknya mengetahui ada aduan dibuat kepada Lembaga Disiplin atas faktor bimbang sekiranya hasil pertemuan itu dibuat secara membelakangkan parti.

“Merujuk kepada perkembangan yang berlaku malam tadi (semalam), mengambil kira dan mengambil maklum pertemuan Ahli Parlimen UMNO yang telah menjadi viral dan menjadi polemik terutamanya dalam kalangan ahli UMNO.

“Perkara ini menimbulkan perasaan tidak senang hati di akar umbi dan rakyat yang mula kembali memberikan sokongan kepada UMNO,” katanya ditemui pemberita selepas prosiding perbicaraan 47 pertuduhan jenayah membabitkan puluhan

juta ringgit milik Yayasan Akalbudi yang dihadapinya di Kompleks Mahkamah Jalan

Duta, Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menyerahkan kepada Lembaga Disiplin untuk membuat keputusan mengikut garis panduan sedia ada kerana secara dasarnya, Majlis Kerja Tertinggi UMNO menetapkan sebarang tindakan yang dilakukan oleh Ahli Parlimen UMNO mestilah dibuat bersama.

“Selain itu, UMNO juga mahu pastikan sebarang keputusan parti kena selari, sama ada Ahli Parlimen yang mewakili UMNO pada Pilihan Raya Umum lalu,” katanya.

Sementara itu, ketika disoal pemberita sama ada Ahmad Zahid mengetahui tujuan pertemuan diadakan, beliau berkata, ia bagi memenuhi kehendak pengundi untuk memperoleh projek kerajaan melalui peruntukan yang disalurkan kepada Ahli Parlimen.

“Sebarang pertemuan sebagaimana yang dicadangkan oleh Ketua Pembangkang hendaklah dibuat secara ‘en bloc’ dan tempat juga perlu di Parlimen kerana ia akan

ketepikan sebarang persepsi yang sebaliknya, kepada mana-mana individu atau pemimpin,” katanya.

Sementara itu, ketika disoal adakah perjumpaan itu adalah cubaan untuk menubuhkan parti baharu, Ahmad Zahid berkata beliau tidak mendengar mengenai dakwaan itu.

Berita berkaitan

Azmin wajib datang mesyuarat esok - Anwar

Majlis Presiden PH tak tahu - Dr Xavier

UMNO akan siasat!

'Saya tak tahu pun..' - Mujahid

Wan Azizah sindir Azmin

Saya tak tahu apa dibincangkan - PM

Azmin jumpa Ahli Parlimen BN

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 November 2019 @ 3:51 PM