Mohd Nasri (kanan) melihat kualiti kerusi kereta keselamatan kanak-kanak selepas melancarkan Modul PKJR Sekolah Rendah Peringkat Negeri Sembilan 2019 di SJKT Bandar Sri Sendayan, Seremban. Foto Adzlan Sidek
Tuty Haryanti Ahmad Rodzi


IBU bapa perlu memastikan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) dalam kenderaan yang dibeli mempunyai label kod QR kerana ia mengandungi maklumat terperinci mengenai garis panduan keselamatannya.

Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Nasri Ishak berkata, ketika ini pengeluar CRS sudah dimaklumkan mengenai label kod QR daripada Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan hanya kerusi yang mempunyai label itu saja dibenarkan dijual di negara ini.

Menurutnya, maklumat yang terdapat dalam garis panduan CRS itu termasuk kelulusan pensijilan, kaedah pemasangan dalam kenderaan dan kesesuaian pemakaian mengikut kategori berat serta tinggi.

“CRS yang mempunyai label kod QR menunjukkan ia mengikut piawaian United Nation (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) Regulation (Peraturan) 44 dan 129.

“Oleh itu, ibu bapa perlu pastikan label itu ada pada CRS sebelum beli. Bagi pembelian dalam talian juga perlu pastikan label ini ada jika tidak mereka boleh pulangkan semula kepada penjual.

“Pembelian CRS tanpa label ini jelas menunjukkan ia tidak mengikut piawaian dan boleh memberi risiko nyawa anak jika menggunakannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Modul Pendidikan Keselamatan Jalan Raya Sekolah Rendah Peringkat Negeri Sembilan di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Bandar Sri Sendayan di Seremban hari ini.

Pada majlis sama turut disampaikan Anugerah Kelab Keselamatan Jalan Raya Paling Aktif Peringkat Kebangsaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Hassan, Perlis (kategori sekolah menengah) serta Sekolah Kebangsaan (SK) Teluk Ketapang, Terengganu (kategori sekolah rendah).

Mengulas lanjut, Nasri berkata, ibu bapa juga boleh melayari laman web JKJR untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai garis panduan CRS.

Beliau berkata, CRS sudah lama dijual di dan digunakan di negara ini tetapi setakat ini tiada pemantauan sama ada terdapat kerusi yang tidak berkualiti digunakan.

Mulai 1 Januari tahun depan, kerajaan mewajibkan penggunaan CRS di dalam kenderaan bagi menyelamatkan nyawa bayi daripada mengalami kecederaan serius atau kematian sekiranya berlaku kemalangan.

MIROS turut menetapkan tiga kriteria yang perlu dipertimbangkan sebelum membeli kerusi itu iaitu jenis kereta, kerusi dan saiz kanak-kanak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 November 2019 @ 4:20 PM