PESERTA pada program [email protected]: Negara Kota Yang Hilang di Muzium Negara, semalam. FOTO Nurul Shafina Jemenon
Fairul Asmaini Mohd Pilus


JABATAN Muzium Negara mengadakan program menarik, [email protected]: Negara Kota Yang Hilang bagi mengetengahkan hasil penyelidikan berkaitan tinggalan Kerajaan Negara Kota Melayu, khususnya kerajaan awal di Nusantara sebelum abad ke-14.

Ketua Pengarahnya, Datuk Kamarul Baharin A Kasim, berkata, program bual bicara itu juga diadakan bersempena pameran Negara Kota Yang Hilang yang akan diadakan pada bulan depan.

Kata Kamarul Baharin, objektif utama bicara itu bagi mewujudkan jaringan kerjasama berterusan dengan pelbagai pihak terutama golongan akademik dan ilmuwan.

Selain itu, ia juga mendedahkan artifak daripada dalam dan luar negara kepada masyarakat supaya percambahan ilmu yang berterusan dapat dipergiatkan.

Katanya, antara topik yang dibincangkan dalam bicara itu adalah mengenai tinggalan batu prasasti yang berkait rapat dengan sejarah tamadun serta impaknya terhadap kebudayaan, ekonomi, undang-undang serta agama kerajaan awal di Alam Melayu.

“Turut menjadi tumpuan adalah topik mengenai politi atau chiefdom yang pernah wujud di sepanjang pantai barat Borneo khususnya di wilayah Malaysia Timur dan Brunei seperti di Tuaran, Po-ni, Melanow dan Santubung.

“Perkongsian ilmu ini dilihat sebagai satu ruang kepada pihak Muzium Negara dalam menyebarluas maklumat kepada masyarakat, ” katanya berucap merasmikan program [email protected]: Negara Kota Yang Hilang di Muzium Negara, semalam.

Menurut Kamarul Baharin lagi, Negara Kota Yang Hilang atau The Lost Kingdoms adalah merujuk kepada kerajaan atau kota yang pernah menjadi pusat pemerintahan sesebuah kerajaan.

Ia bagaimanapun sudah lupus pada zaman sejarah moden dan kerajaan berkenaan hanya dapat dikesan melalui beberapa sumber iaitu tinggalan kota atau candi, batu bersurat, kubur atau makam, catatan sarjana, pengembara serta ekskavasi arkeologi.

“Sehingga kini, bukti kewujudan kerajaan awal di Nusantara yang bersifat negara kota ini masih dapat dilihat pada beberapa aspek binaan, candi, batu bertulis (prasasti dan inskripsi) dalam bentuk Bahasa Melayu kuno dan Sanskrit.

“Ia termasuk lain-lain artifak hasil jumpaan arkeologi di Lembah Bujang dan Sungai Batu (Malaysia); My Sobn, Phan Rang, Oc Eo (Vietnam); Angkor Wat, Preah Viher, Sambor Preikok (Kemboja); Candi Prambanan, Candi Burobudor, Candi Sukuh, Trowulan (Indonesia) serta Takua Pa dan Yarang di Thailand, ” katanya.

Sementara itu, [email protected] kali ini disertai panel berpengalaman iaitu Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Nasha Rodziadi Khaw; Direktorat Jenderal Kebudayaan, Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia, Budi Istiawan dan Pensyarah Kanan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Yunus Sauman.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 November 2019 @ 6:15 AM