BERNAMA

TAKTIK seorang wanita warga Thailand mengaku rakyat Malaysia ketika cuba mengelak ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang gagal apabila dia tidak tahu menyanyikan lagu kebangsaan, Negaraku.

Dalam operasi di Plaza Tol Juru Lebuhraya Utara Selatan menghala Utara, di Bukit Mertajam, wanita berusia 21 tahun itu pada mulanya memberikan pelbagai alasan apabila diminta menunjukkan kad pengenalannya termasuk memberitahu ia disimpan oleh ibunya, malah dia juga gagal untuk mengingati nombor kad pengenalannya.

Pengarah Imigresen Pulau Pinang Mohamad Husni Mahmud berkata, ketika disoal, wanita itu menegaskan bahawa dia adalah warganegara Malaysia bersekolah dan menetap di Alma, di Bukit Mertajam walaupun gagal menunjukkan sebarang dokumen untuk menyokong dakwaannya.

Beliau berkata, apabila diminta menyanyikan lagu Negaraku wanita itu gagal berbuat demikian dan berkata keluarganya akan datang membawa kad pengenalannya tetapi setelah hampir sejam menunggu keluarganya tidak muncul.

“Akhirnya wanita itu mengaku bahawa dia warganegara Thailand dan mengeluar surat beranak Thailand yang menunjukkan bahawa dia lahir di negara itu, ibunya juga warga negara itu, cuma ayahnya yang warga Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas operasi khas bersepadu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersama pelbagai agensi penguat kuasa, malam tadi.

Mohamad Husni berkata, wanita itu pada mulanya ditahan JPJ bersama teman lelakinya warga tempatan berusia 20 tahun kerana nombor pendaftaran kereta Honda yang mereka dinaiki tidak mematuhi spesifikasi.

Beliau berkata, dalam operasi itu, pihaknya turut menahan lima lelaki terdiri daripada tiga warga Myanmar dan dua warga India serta seorang lagi wanita Indonesia, berusia antara 25 dan 40 tahun kerana tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan diri dan

Kesemua mereka dihantar ke Depoh Tahanan Juru untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Pengarah JPJ Pulau Pinang Mohamat Johari Mat Nor berkata, dalam operasi bermula 8 malam hingga 12 tengah malam itu, pihaknya memeriksa 362 buah kenderaan dan 152 saman dikeluarkan ke atas 92 kenderaan kerana pelbagai kesalahan.

Dalam pada itu, Mohamat Johari turut memberi amaran kepada warga asing yang tinggal di Pulau Pinang supaya mengambil lesen memandu yang ditetapkan kerajaan jika mereka tinggal lebih daripada setahun di Malaysia.

“Jika ingkar mereka boleh dikenakan saman walaupun memiliki lesen memandu antarabangsa atau negara asal. Lesen memandu antarabangsa atau negara asal hanya boleh digunakan dalam tempoh setahun menetap di sini sahaja dan selepas itu mereka boleh disaman memandu tiada lesen serta di denda,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas beberapa kejadian kemalangan dan kemalangan maut di Pulau Pinang membabitkan kenderaan dipandu warga asing termasuk terbaharu pemandu warga Vietnam merempuh pemandu lori sampah sebuah syarikat pembersihan berhampiran Bangunan Persekutuan, Jalan Anson di Bukit Mertajam, awal pagi Jumaat.

Dalam kemalangan 6.40 pagi itu, mangsa, pemandu lori sampah Mukhtar Bahari, 62, yang parah sehingga kaki kiri terpaksa dipotong dari bahagian atas lutut.


FOTO hiasan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 November 2019 @ 9:42 AM