GAMBAR fail menunjukkan operasi pencarian mangsa. FOTO Ihsan Bomba
Mohd Roji Kawi


SELEPAS gerakan mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan semalam, seorang pekerja kapal membawa muatan batu kuari yang dikhuatiri lemas di Logan Tujuh, Sungai Baram, di Miri, disahkan selamat hari ini dan berada di Kuala Baram.

Raziman Roslan, 33, yang bertugas sebagai operator kren disedari hilang dari kapal berkenaan ketika juragan membuat pemeriksaan rutin pada 6 pagi, semalam.

Selepas gagal mencarinya, juragan dan beberapa pekerja kapal yang lain mengesyaki lelaki terbabit terjatuh ke dalam sungai dan lemas.

Berikutan itu, laporan dibuat di Balai Polis Marudi berhubung kehilangannya dan memohon bantuan untuk mencari.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, sejurus menerima maklumat kejadian, empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Marudi dikerah ke lokasi dengan menaiki bot.

“Setibanya di lokasi, operasi pencarian di permukaan dijalankan, namun dihentikan pada 5.30 petang semalam ekoran keadaan semakin gelap.

“Bagaimanapun, ketika operasi pencarian hendak disambung semula pagi ini, lelaki itu berjaya dihubungi dan dia mengaku menaiki kapal lain tanpa memberitahu sesiapa dan pergi ke Kuala Baram, di Miri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Difahamkan, kapal berkenaan berlabuh di Logan Tujuh kira-kira 7 malam kelmarin kerana tidak dapat meneruskan perjalanan ke Kuala Baram pada waktu malam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 November 2019 @ 9:55 AM