KEADAAN rumah yang terjejas. FOTO Hazsyah Abdul Rahman
Hazsyah Abdul Rahman


TIGA puluh lima rumah di Kampung Bugaya, dekat Batu Sapi, di Sandakan, musnah terbakar, tengah malam tadi.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Dalam kejadian 12.35 tengah malam itu, kebakaran rumah atas air berkenaan membabitkan keluasan lebih 6,000 meter persegi.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Enam Sabah, Anddre Andrew berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.40 tengah malam sebelum mengerahkan tiga jentera bersama 25 anggota ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba, api marak membakar sebahagian besar rumah yang terjejas dan usaha memadam kebakaran segera dijalankan.

“Api berjaya dikawal pada 2.35 pagi sebelum berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 5.19 pagi.

“Pemeriksaan lanjut kemudiannya mendapati sebanyak 35 rumah jenis tidak kekal musnah terbakar sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Anddre berkata, setakat ini, punca kejadian sebenar dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Dalam pada itu, beliau berkata, seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) tidak sedarkan diri ketika cuba membantu penduduk terjejas.

“Anggota berkenaan diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Duchess of Kent, Sandakan untuk rawatan lanjut,” katanya.

Anddre berkata, setakat ini, mangsa dilaporkan stabil.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 November 2019 @ 11:03 AM