JURANGAN berkenaan bersama ketam yang dirampas. FOTO Ihsan APMM
Abdul Rahemang Taiming


CUBAAN juragan warga Indonesia membawa masuk kira-kira 800 kilogram (kg) ketam bakau di Tawau, gagal selepas ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan tenggara Tanjung Saima, dekat Tawau, semalam.

Dalam kejadian 2.35 pagi itu, bot jongkong dikendalikan juragan berumur 57 tahun dikesan dalam keadaan mencurigakan ketika memasuki daerah itu melalui perairan Pulau Sebatik.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kapten Maritim Siva Kumar Vengadasalam berkata, pemeriksaan awal mendapati juragan kapal terbabit gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah selain lesen bot sudah tamat tempoh.

“Bot jongkong yang berisi muatan ketam bakau sebanyak 37 kotak dengan berat kira-kira 800 kg dan tiga tong berisi 90 liter petrol kemudiannya ditunda masuk ke jeti Zon Maritim Tawau untuk siasatan lanjut,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Siva Kumar berkata pihaknya turut menahan seorang juragan warga asing kerana disyaki tidak memiliki lesen bot dan dokumen pengenalan diri sah di kawasan sama, jam 2.45 pagi.

“Bot jongkong dikendalikannya membawa tiga tong gas cecair petroleum (LPG) tanpa kelulusan atau permit dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP),” katanya.

Jelasnya lagi, jumlah keseluruhan barang yang dirampas dalam kedua-dua tangkapan dianggarkan bernilai hampir RM40,000.

“Kedua-dua juragan bersama bot jongkong mereka ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 November 2019 @ 11:42 AM