DATUK Seri Anwar Ibrahim. FOTO Arkib NSTP
Mohd Husni Mohd Noor


PARTI Keadilan Rakyat (PKR) menafikan mesej tular yang mengaitkan Presidennya Datuk Seri Anwar Ibrahim berada di Istana Negara pagi ini untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Perkara itu dinafikan Pengarah Komunikasinya, Fahmi Fadzil ketika ditemui di lobi Parlimen, Kuala Lumpur, pagi ini.

“Saya tidak ada keluarkan sebarang mesej mengesahkan kehadiran Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Negara.

“Ini adalah satu taktik yang cukup jelik, kotor, dan saya akan buat laporan polis hari ini kerana nama saya digunakan pihak tidak bertanggungjawab untuk menimbulkan maklumat tidak benar, palsu, fitnah dan bermotif politik,” katanya.

Beliau juga mengesahkan Anwar ada di Dewan Rakyat, pagi ini.

Terdahulu, pihak media menerima satu mesej tular jam 9.45 pagi kononnya Fahmi mengesahkan Anwar berada di Istana Negara untuk bertemu dengan Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun, media turut melihat kehadiran Anwar di Dewan Rakyat, jam 10.10 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 November 2019 @ 12:27 PM