FOTO HIASAN
Fardy Bungga


DUA lelaki nekad merempuh tiga kenderaan anggota polis narkotik ketika cuba melarikan diri dari ditahan di Penampang Baru, di Penampang, semalam.

Bagaimanapun, dalam kejadian jam 4 petang itu, kedua-dua lelaki berusia 26 dan 38 tahun itu berjaya ditahan polis sejurus selepas kejadian.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, operasi Op Tapis itu dijalankan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Darrah (IPD) Penampang.

Katanya, insiden itu berlaku ketika anggota polis cuba menghampiri sebuah kenderaan yang dilihat dalam keadaan mencurigakan.

“Ketika dihampiri dan memperkenalkan diri sebagai anggota polis, suspek terus memecut kenderaannya sehingga merempuh tiga kenderaan anggota polis yang menyertai operasi berkenaan.

“Kedua-dua suspek berjaya ditahan. Tiada sebarang kecederaan berlaku dalam kalangan anggota polis bertugas,” katanya menerusi kenyataan, media hari ini.

Mohd Haris berkata, hasil pemeriksaan menemukan satu peket plastik lut sinar berisi ketulan hablur jernih dipercayai dadah jenis syabu.

“Rampasan dadah syabu seberat 0.65 gram yang dianggarkan bernilai RM100. Kedua-dua suspek juga didapati positif dadah jenis syabu.

“Kedua-dua suspek direman untuk siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca bekalan dadah itu diperoleh,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 November 2019 @ 12:40 PM