PENDUDUK menyelamatkan Mohd Hanafi yang cedera dirempuh gajah. FOTO ihsan PERHILITAN
Adnan Ibrahim


PENYELIA ladang kelapa sawit nyaris maut apabila dirempuh gajah liar ketika membuat tinjauan di Ladang Felda Nitar 2, Mersing, semalam.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Johor, Salman Saaban berkata, kejadian jam 12.30 tengah hari itu menyebabkan Mohd Hanafi Mohd Isa, 30, cedera di badan dan terpaksa dirujuk ke Hospital Mersing untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, siasatan awal pihaknya mendapati mangsa pergi ke lokasi seorang diri selepas menerima maklumat kemasukan gajah ke kawasan berkenaan.

“Bagaimanapun, ketika leka membuat tinjauan dipercayai dua gajah keluar secara tiba-tiba dari semak berhampiran menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak sebelum dirempuh haiwan itu.

“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan namun mampu menghubungi penduduk untuk mendapatkan bantuan sebelum usaha menyelamat dilakukan penduduk kampung,” katanya melalui kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, sejurus dimaklumkan mengenai kejadian itu, seramai empat pegawai PERHILITAN Mersing dikejarkan ke lokasi untuk menjalankan siasatan.

“Apabila tiba di tempat kejadian kira-kira jam 2 petang, mangsa dari Blok 5B Felda Nitar 2 sudah dibawa keluar dari ladang menaiki Toyota Hilux dan diserahkan kepada pasukan perubatan.

“Siasatan mendapati laluan ke lokasi dalam keadaan bersemak dan sukar untuk melihat kehadiran gajah atau menyelamatkan diri sekiranya haiwan itu tiba-tiba menyerang,” katanya.

Menurutnya, pihaknya akan membuat pemantauan dari semasa ke semasa selain melepaskan tembakan dengan tujuan menghalau haiwan itu ke lokasi lain.

Katanya, berdasarkan kesan laluan dan najis yang ditemui, pihaknya menganggarkan dua gajah di kawasan berkenaan namun ia tiada di kawasan itu ketika pegawai menjalankan siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 November 2019 @ 2:39 PM