PERTENGKARAN tercetus antara Ismail dengan Tajuddin di lobi Parlimen.
Mohd Husni Mohd Noor


DUA Ahli Parlimen UMNO yang bertikam lidah dan hampir bertumbuk di lobi Parlimen tengah hari tadi akan ‘disatukan’ esok.

Perkara itu disahkan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika ditemui di lobi Parlimen, jam 4.45 petang tadi.

“Sesi cium mulut (berbaik-baik) tangguh esok.

“Kuala Krau (Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said) sudah balik. Sesi cium mulut ditangguh hingga esok,” katanya sambil ketawa sebelum meninggalkan lobi Parlimen.

Beliau sepatutnya mendamaikan kedua-dua Ahli Parlimen itu petang ini namun seorang daripada mereka tiada di bangunan Parlimen dipercayai sudah pulang.

Terdahulu, Ahmad Zahid memaklumkan kepada wartawan bahawa beliau akan mempertemukan kedua-dua Ahli Parlimen itu dan meminta mereka berbaik-baik serta tidak memanjangkan perkara itu.

“Kejap lagi, kejap lagi saya temukan dua-dua di sini (lobi Parlimen). Kamu semua tunggu kat lobi ni,” katanya.

Ahmad Zahid dilihat hadir di lobi Parlimen jam 4.50 petang sebelum bertemu dengan Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof ketika ditemui berkata, beliau berharap kedua-dua mereka berbaik-baik.

Lobi Parlimen kecoh apabila Tajuddin dan Ismail bertengkar dan hampir bergaduh.

Insiden jam 12.50 tengah hari itu berlaku di hadapan puluhan pengamal media yang berada di lobi berkenaan.

Kejadian bermula apabila Ismail dan Tajuddin secara tiba-tiba mengeluarkan pelbagai perkataan cacian dan makian seperti ‘bodoh’, ‘bangang’ dan ‘stupid’ antara satu sama lain.

Berita berkaitan

Dua ahli Parlimen UMNO nak bertumbuk [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 November 2019 @ 5:45 PM