ANTARA kerusi penonton yang dirosakkan penyokong pasukan bola sepak Indonesia. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Muhaamad Hafis Nawawi


KECEWA selepas pasukan mereka tewas menyebabkan segelintir penyokong Indonesia merosakkan 44 kerusi bernilai kira-kira RM11,000 ketika perlawanan aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 yang menyaksikan Malaysia menewaskan Indonesia 2-0, di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Nik Razeen Adam Daud berkata, laporan kerosakan itu akan diserahkan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam masa terdekat untuk tindakan susulan.

Menurutnya, setakat ini, pihaknya mendapati sebanyak 44 kerusi dirosakkan dan secara kebiasaannya mengikut perjanjian sebelum ini, pihak terbabit akan menanggung kos kerugian peralatan stadium.

“Bagaimanapun, prosedur operasi standard (SOP) FAM pula menetapkan sebarang aduan diterima perlu disampaikan kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA)... kita akan tunggu keputusannya nanti.

“Manakala, laporan polis hanya akan dibuat selepas berbincang dengan FAM,” katanya.

Mengulas mengenai jika kerajaan Indonesia harus memikul tanggungjawab itu, beliau berkata, pihaknya tiada hak untuk menyatakan sedemikian sebaliknya ia tertakluk kepada bidang kuasa FAM.

ANGGOTA polis memadamkan suar yang dibaling penyokong pasukan bola sepak Indonesia. FOTO Mohd Yusni Ariffin

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 November 2019 @ 6:28 PM